Kaherah: Ketua Jabatan Agama Kementerian Waqaf Mesir Mohamed Abdel Razek berkata, kementerian itu akan membakar semua buku karangan ulama Ikhwanul Muslimin.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya kelmarin, Abdel Razek berkata, kementerian dan pihak berkuasa Mesir menganggap buku itu berbahaya.

“Kementerian akan membakar ‘buku beracun’ yang ditulis Sheikh Hassan Al-Banna, Sayyid Qutb, Yusuf Al-Qaradawi dan pemimpin Ikhwan lain. Buku yang ditulis kumpulan Islam lain juga akan dibakar,” kata Abdel Razek.

Sabtu lalu, Setiausaha Rendah kementerian Gaber Tayee berkata, pegawai diarah memeriksa semua buku di perpustakaan setiap masjid di negara itu bagi memastikan ia ‘sesuai dengan toleransi dalam Islam.’

“Semua buku dikarang pelampau atau anggota Ikhwanul Muslimin dan Jemaah Islamiya akan dikeluarkan dari perpustakaan,” katanya.

Mesir berdepan kekacauan sejak bekas Presiden Mohamed Mursi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2013.

Sejak menggulingkannya, pihak berkuasa Mesir diketuai Presiden Abdel Fattah al-Sisi tidak putus-putus menyasarkan penyokong Mursi yang juga bekas pemimpin Ikhwan.

Ratusan penyokong presiden itu mati dan ribuan lagi dipenjarakan.

Ikhwan diisytihar pertubuhan pengganas oleh kerajaan Mesir pada 2013. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 10:34 AM