Oleh Lily Haslina Nasir

“Nanti tolong mak ya, Pia.”

“Tolong apa, mak?”

“Hantarkan bekas-bekas makanan tu pada Haziq. Dah lama sangat emak simpan. Segan pulak nanti. Bagi sekali serunding daging yang ada dua kilo dalam beg plastik ni.”

Terbeliak mata Sofea mendengar pesanan emaknya itu.

“Kalau bawak tiga bekas tu elok-elok ya. Dalam tu mak ada bubuhkan tart nanas sama biskut coklat. Takut pecah berderai pulak.”

Wah! Bukan main emak! Rupa-rupanya berpeluh-peluh dan bahang satu dapur mengacau serunding minggu lepas, untuk Haziq! Terjuih bibir Sofea menahan rasa.

“Serunding untuk dia sampai dua kilo? Baik simpan untuk Pia dengan Pian aje makan. Boleh jugak nak makan dengan nasi panas kalau kita malas masak lauk!” Sofea memprotes.

“Allah! Kalau Pia nak, bila-bila boleh kita buat. Bagilah Haziq. Dia bagi kita macam-macam. Takkan kita tak balas pulak. Makanan ni semua boleh jugak dia bawak bekal bila balik Qatar.”

“Huh, mamat tu banyak duit. Dia boleh beli sendiri. Buang masa aje bagi dia!”

“Eh, Pia ni! Dah jangan banyak bunyi! Nanti tolong hantarkan pada Haziq.”

“Mana Pia tahu rumah dia dekat mana?”

“Eh, takkan tak boleh telefon? Kalau hal pejabat, bos Pia suruh cari umpan pancing pun, cekap aje Pia carikan!” Sindir Hajah Asmah membuatkan Sofea terherot mukanya.

“Rumah dia kawasan mana?”

“Kelana Jaya.”

“Hah??” Bulat mata Sofea memandang emaknya. Amboi! Kenapa tak fasal-fasal aku kena jadi minah despatch Haziq pula ni!

“Kenapa?”

“Manalah Pia mahir jalan area situ mak.”

“Telefon bukan ke ada? Tak boleh ke telefon dia, janji dekat mana-mana. Hulurkan aje dari tingkap kereta kalau tak mahu

keluar jumpa dia. Susah sangat ke?”

Melihat Sofea yang membatu dan seperti patung cendana, Hajah Asmah sengaja mengingatkan lagi anak gadisnya itu.

“Kena bagi esok jugak. Haziq beritahu mak, dia dah nak ke Johor esok. Kemudian terus balik ke Qatar.”

“Huh!”

Susahkan oranglah mamat ni! Berlapis kerut di dahi.

Sofea mengeluh mende­ngar kata-kata Hajah Asmah. Ligat kepalanya berfikir. Nak hantar ke rumah? Huh! Tak kuasalah! Habis tu, telefon Haziq, janji dengan dia? Nak telefon ke? Malasnya! Nanti kalau bercakap sepatah dua tentu jadi meleret-leret lepas tu. Mesej saja! Suruh dia ­sajalah datang kutip

barang ni! Sofea sudah berkira-kira di dalam hati. Tidak tahu me­ngapa, hati­nya menjadi tidak keruan mengenang­kan tugasan dan amanah yang diberikan oleh Hajah Asmah.

Tanpa secalit rasa ikhlas di hati, mesej ditaip.

“Salam. Ada barang emak saya kirim. Boleh datang ambil.”

Dengan seribu rasa sebal, mesej itu dikirimkan Sofea kepada Haziq.

“Emak Sofea kirim barang? Buat susah-susah aje. Apa dia ya?”

Huh! Nak beramah-tamah pula dia! Sofea tercebik membaca mesej respon Haziq.

“Entah. Bila boleh serahkan.”

“Ni di KLCC. Nanti kita janji kemudian ya. Mungkin petang ni. Kalau susah nak hantar, biar Haziq yang datang ambil. Kita confirm sebelum lunch ya.”

Sengaja Sofea tidak membalas mesej yang terakhr itu. Lelaki! Kenapalah engkau cepat perasan ya! Aku baik dengan engkau sebab kita pernah satu sekolah. Tak payahlah engkau nak beli jiwa emak aku! Terpandangkan beg berisi bungkusan yang dibekalkan Hajah Asmah, menambah cemberut pada wajah Sofea.

******

Di kamar yang gelap di rumah agam milik Tuan Ramli, lena Chairil asyik terganggu. Entah sebab sakit belakang, sengal sendi dan rasa bisa yang mencengkam atau ­memang jiwa tiba-tiba berasa tidak tenang, Chairil

hilang lena yang panjang saban malam. Rasa kosong jiwa sesekali membuatkan hatinya merintih dan

saling berting­kah rasa penuh insaf.

Kesakitan bagai menghantar ingatannya yang kian lupa pada daerah yang terping­gir itu. Daerah batin yang sebenarnya sekian lama tidak dihujani dengan zikrullah. Wajahnya tidak dapat disorok­kan raut lesu dan letih. Pagi ini, di kala subuh yang dingin, dia menggelupur sendiri. Mencari kemanisan muhasabah diri sambil beriktikaf di masjid yang berhampiran.

Sewaktu pulang ke rumah, sakitnya semakin tajam dan terasa urat di pinggang bagai dihiris-hiris. Sangat ngilu. Batuk-batuk yang berpanjangan menambahkan rasa tidak selesa. Dua biji pil tahan sakit ditelan segera. Tiada siapa di rumah. Puan Ramnah dengan Tuan Ramli sudah dua hari keluar daerah.

Puncak gunung masih bersisa kabus hitamnya. Maharani angin mendesah garang. Dinginnya sangat mencengkam. Batuk yang menyentap diri dilepaskan tanpa peduli bunyinya bergema di rumah. Selama ini di hadapan emak dan abahnya, seboleh mungkin Chairil menyembunyikan keadaan diri yang tidak sihat. Kalau mahu batuk pun, puas dia mengawal suara. Sembunyi-sembunyi dia menekup mulut dengan seribu kepayahan dan rasa tidak selesa.

Chairil gagahkan diri untuk bersiap ke pejabat. Memandu kereta pun dengan penuh rasa diuji. Sakitnya bukan kepalang. Pagi itu dia sampai amat awal di pejabat. Pergerakan bagai dirantai. Telefon sengaja dimatikan. Dia cuba untuk bertenang sambil mengawal rasa

sakit.

“Assalamualaikum Tuan Chairil. Petang ni selepas waktu pejabat, jadi ke jumpa dengan Mr Steven, Tuan Muzamil dengan Dr. Mazlan dari Pengkalan Hulu.” Nisa yang tidak menyedari bos muda yang sedang kesakitan itu menyenaraikan jadual temu janji di bilik Chairil.

“Oh? Saya lupa.”

“Confirm?”

“Bolehlah. Lepas waktu pejabat ya.”

Chairil sekadar mengang­guk. Tidak berdaya hendak banyak cakap. Pil tahan sakit sudah dua biji ditelannya namun sakit masih menceng­kam.

Sebaik sahaja Nisa melang­kah keluar bilik, Chairil teringat sesuatu dan kemudian menepuk dahi!

Baru dia teringat Firdaus bercuti hari itu. Allah! Macam mana aku nak drive! Dan tiba-tiba keadaan bibir diketap menahan sakit, dia tersenyum sumbing sendiri. Chairil memanggil Sofea datang menghadap di biliknya.

“Hari ni abang tak larat nak drive. Kita ada meeting tak formal dengan rombo­ngan dari Pengkalan Hulu. Abang tumpang kereta ­Pia ya?”

“Pia kena pergi ke?” Sofea menjadi kaget dan panik.

“Ya.”

Sofea menarik nafas. Allah! Aku memandu, Chairil di sebelah. Tiba-tiba sahaja badan terasa mahu demam.

“Kenapa?” Chairil me­nyedari ada raut yang kelam dan keruh pada wajah Sofea.

“Err.. tak ada apa.” Sofea serba-salah.

“Tak boleh tumpang kereta Pia ke?” Nada itu kedengaran seperti terasa hati.

“Eh, bukan... bukan tu!”

“Habis tu kenapa?”

“Kereta Pia tu tak ada aircond. Panas sikit.”

“Di padang mahsyar nanti lagi panas. Dalam neraka dah tentu mendidih menggelegak.” Chairil cuba berlucu namun wajah Sofea tetap tiada emosi. Kepalanya ligat memikirkan janjinya dengan Haziq.

“Abang tak berapa sihat. Kalau terpaksa, Pia hantar abang balik ya?”

“Oh!” Itu sahaja mampu Sofea lafazkan. Dia memang terlopong mendengarnya.

“Kalau tak boleh, tak apa. Pia turunkan abang dekat tempat teksi. Abang balik dengan teksi aje.”

“Eh, bukan! Bukan tak boleh. Seganlah Pia nak hantar abang. Sudahlah kereta Pia tu macam nak roboh. Kereta lama, kan.” Pantas Sofea berlapik kata. Dadanya semakin bergemuruh cemas. Ya Allah, jauhkanlah aku dari seribu prasangka yang bukan-bukan!

“Nak segan pada siapa. Emak abah abang pun tak ada. Tu yang driver pun tak ada. Ikut abah abang. Firdaus pulak cuti.”

Sofea terasa ada gempa dan taufan menerjah hatinya. Huh, memang aku tak boleh mengelak nampaknya!

“Abang okay ke kalau waktu pulang kita lewat sikit?”

“Kenapa lewat?”

“Nak singgah ke tempat lain dulu.”

“Kita nak ke mana?”

“Tak pasti lagi. Tunggu kawan beritahu. Dia nak ambil barang.” Ya Allah terasa berdosanya apabila dia terpaksa berdalih begitu.

“Tak ada masalah. Balik lewat pun tak apa, asal ­dengan Pia.”

Sofea diam tidak bersuara. Kepalanya tegak dengan mata tidak berkelip memandang ke hadapan. Renungannya kosong. Jiwanya berkecamuk. Mamat seorang ini! Kata sakit, sempat lagi nak mengada-ada!

Sepanjang hari itu Sofea berasa benar-benar mahu demam. Ikutkan hati mahu saja dia ke klinik panel Menara Rumah Manis dan mohon cuti sakit.

Mesejnya pada Haziq tidak mendapat balasan. Ke mana pula mamat ini! Takkan hand­phone habis bateri pula! Tiba-tiba saja mesej semua dilihat pada tanda, bagai belum diterima Haziq.

Sofea berusaha menepis rasa di dada. Chairil yang sudah berada di sebelah kirinya di dalam kereta Fiat lama itu, menambah gigilnya untuk memandu. Dada terasa dibelit dan dilingkari masalah. Haziq! Haziq! Ke mana kau! Payah-payah sangat, aku makan sendiri saja serunding dengan biskut-biskut emak ini!

Awan putih bercorak pucuk rebung cantik melingkari dan bercambah di jelapang langit. Chairil tenang dan senyum sahaja melihat Sofea yang ternyata tidak mampu menyembunyikan rasa cemasnya. Sesekali mata nakalnya mencuri pandang wajah Sofea dari pandangan sisi. Manis! Kelopak matanya. Alisnya. Segala-galanya miliknya meredupkan sesiapa yang memandang.

Sebaik sahaja kereta melepasi pondok pengawal, tiba-tiba ada lelaki mengejar, menyergah dan menepuk cermin tingkap Sofea.

“Hei!! Haziq!” Sofea memandu ke tepi jalan. Cermin tingkap diturunkan

dengan penuh kepayahan. Dipulasnya tombol yang ketat itu.

“Pia! Sorry. Haziq tak sempat nak balas mesej. Haziq

sibuk dengan urusan nak balik Qatar minggu depan.”

Chairil di sebelah Sofea tergamam dengan apa yang dilihat. Who on earth, does he think he is? Tiba-tiba terjah orang macam penyamun ini apa hal! Ringan saja mulut Chairil mahu mencarut. Namun dia sabarkan hati yang tidak semena-mena menggelegak.

“Barang apa yang emak Pia kirim?” Haziq dengan muka yang berpeluh dek menunggu di tepi jalan sekadar angkat tangan, angkat kening dan senyum ke arah

Chairil.

“Itu. Dekat tempat duduk belakang tu.” Ujar Sofea ­dengan wajah sedikit ketat.

“Buat susah-susah aje!” Haziq tersenyum-senyum bahagia menerima titipan dari emak Sofea.

Huh, kau memang me­nyusahkan oranglah! Jerit Sofea di dalam hati. Tatkala itu dia tahu, dia perlu bertabah. Jangan ditoleh ke arah orang sebelahnya. Jangan direnung mata Chairil Cougar. Harus merah menyala anak mata Chairil.

“Apa tu?”

“Entah. Okaylah ya... saya nak cepat ni. Ada bisnes date dengan bos.” Sengaja dia menyebut bos. Chairil me­ngangguk dengan muka ketat.

“Senang-senang datang­lah holiday Qatar nanti. Ajak famili. Kalau nak datang sana, beritahu ya! Nanti boleh rancang jelajah Timur Tengah.” Sempat lagi Haziq bermanis kata. Sofea sekadar senyum kelat, tanpa sebarang komen.

Kereta bergerak perlahan dengan Haziq yang masih tersenyum-senyum senang sambil melambai di tepi jalan.

Terasa macam hilang nafas apabila melihat muka garang Chairil.

“Oh!! Haziq!” Sinis nada suara Chairil.

Sofea menjadi serba-salah. Ah, memang dah jangka pun!

“Tak apalah. Abang pergi naik teksi aje.”

“Eh, janganlah macam tu. Kata nak pergi sekali dengan Pia.” Mamat ni kenapa? Kau nak terjun dari kereta aku ke? Jangan nak buat drama pula ya tengah jalan raya ini! Bebel Sofea di dalam hati. Namun dia tahu, dia harus tabah menadah telinga disindir Chairil.

Sofea semakin tertekan. Allah! Rusuh dada, sebalnya rasa! Kenapa kau perlu merajuk wahai lelaki! Namun ungkapan itu tidak mahu dizahirkan. Hanya batinnya menjerit.

“Pia uruskanlah apa yang mak Pia pesan tu. Kotlah malam ni ada dinner terakhir dengan Haziq.

Pandailah abang nak pergi nanti. Kita jumpa di Alamanda aje.”

Sofea terpinga-pinga mendengar repekan Chairil. Jelapang hati Chairil terasa rentung terbakar apabila mengenangkan wajah Haziq. Dia memang sengaja mengambil peluang seminar di hari Sabtu itu untuk menumpang kereta Sofea namun sebaik sahaja ternampak kelibat Haziq, terasa mahu ditinju muka lelaki yang satu itu.

Perjalanan menuju Alamanda terasa bergerak di atas lebuh raya yang penuh api menjulang. Bahang, menjerakan dan membuat jiwa Sofea nanar. Masing-masing membisu seribu bahasa. Tiba-tiba sewaktu selepas tol Kajang menghala Putrajaya, di tengah kesesakan lalu-lintas, kereta tersemput-semput.

“Ya Allah! Kenapa ni Pia?”

Sofea tidak berani menjawab. Tangannya jenuh mengawal stereng kereta tua itu. Memang berat untuk dipulas. Belikatnya sakit terpaksa tegak memandang ke hadapan. Tidak berani dia hendak menoleh ke kiri atau ke kanan apabila Chairil duduk di sebelahnya. Serba serbi menjadi kaku, keras, beku lagi kejung.

Kereta semakin semput. Gear seperti tidak masuk. Bunyi enjin mengaum kuat dan sesekali bagai kedengaran meletup-letup pada ekzosnya.

“Kenapa macam kuda liar terlompat-lompat kereta ni?”

“Jaga brek!”

“Eh! Kereta ni menggelongsor!” Tatkala itu enjin sudah pun terpadam.

Sofea sudah senak perut. Peluh memercik di dahi. Seluruh badan menjadi seram sejuk. Kaki mahu memijak pedal kereta terasa menggeletar.

“Abang, macam mana ni?”

“Jangan panik. Cuba tarik brek tangan.”

“Tak mahu jugak!”

Berada pada puncak ketinggian jambatan memang perkara yang paling dibenci oleh Sofea. Apatah lagi tatkala memandu kereta tua Fiat yang satu ini.

“Jaga stereng.”

Chairil terus keluar, membuatkan Sofea semakin menggelabah.

“Abang nak ke mana?” Suaranya seperti mahu menangis. Beberapa buah kereta sudah menjerit dengan bunyi hon yang kuat. Sofea semakin ketar mengesat peluh di dahi dan di pipi. Rintik peluh dingin semakin laju mengalir.

Dia menoleh ke belakang. Eh, ke mana Chairil? Dia memandang ke sisi kiri.

Kelihatan lelaki itu sedang mengutip sesuatu. Dua

ketul batu yang besar diambil dari tepi laluan pejalan kaki.

Bahang dan debu bersatu menjadikan hangat sangat luar biasa biarpun di kala petang. Kepala Chairil sendiri berasa berdenyut-denyut. Namun digagahkan dirinya. Beberapa dahan dan ranting pokok yang sempat dicapai, dihimpun dan ditegakkan di belakang kereta. Dengan wajah yang bersahaja, Chairil memberi isyarat tangan, mengarahkan kenderaan lain yang berderet

di belakang kereta Sofea, memintas kereta kotak mancis itu.

“Abang cuba tolak, Pia tekan minyak, masuk gear terus ya.” Chairil dengan segala kudrat cuba menolak kereta sambil memberi arahan pada Sofea. Selepas berulang kali melafazkan Bismillah, berzikir dan selawat yang tidak putus, kereta akhirnya mampu dihidupkan.

Dengan tergigil-gigil dan wajah yang pucat lesi, Sofea terasa dirinya bagai dipaku di hadapan stereng. Tidak tahu apa yang wajar dibualkan dengan Chairil. Segala benda berkecamuk di dalam kepala.

Chairil membuka butang baju kemejanya separas dada. Tangan kemeja yang panjang dilipatkan separas lengan. Sofea yang sedang memandu ternampak perbuatan itu. Hatinya semakin merusuh. Jangan panik Pia! Mamat ni berpeluh tu! Sofea cuba untuk tidak berburuk sangka.

“Just because I don’t react, doesn’t mean I didn’t notice!”

Sofea diam.

“Lain kali beritahu abang apa yang sebenar. Jangan sorok. Abang perhati semuanya.”

“Jadi selama ni abang memang perhatikan Pia ya?”

“Exactly!” Suara Chairil penuh yakin dan tegas. Sofea tidak mampu membalas.

“Abang tak ada kerja ya? Waktu mesyuarat memang Pia perasan abang perhatikan Pia macam nak telan.” Sempat bibir itu mengomel sambil memandu secermat mungkin.

“Bukan waktu mesyuarat aje. All the time!”

“Huh!”

“I watch you move, and I can’t think straight.”

“Abang tahu tak, bila abang buat macam tu, orang yang tak suka Pia macam Effa bertambah-tambah benci pada Pia nanti! Pia kerja niat nak cari rezeki. Tak seronoklah kalau tiba-tiba dapat musuh sebab hal remeh macam ni.”

“Hal remeh? Bagi abang ni soal hati abang.”

“Abang ni payahnya nak bercakap dengan dia! Pia cerita fasal Effa, fasal kawan-kawan Effa, kroni-kroni Effa yang tak suka Pia.”

“Love your haters, they’re your biggest fans!”

“Kalau Pia terlalu harapkan balasan baik dan semua orang adil dengan Pia sebab Pia sendiri baik dan adil pada orang lain, Pia silap. That’s like expecting the lion not to eat you just because you didn’t eat him.” Penuh berkias kata-kata Chairil.

“Abang nak kata abang ni singa? Harimau?”

“Kalau abang ni singa atau harimau, dah lama abang terkam Pia. Tapi abang waras lagi. Abang masih ada iman. Pia bidadari abang. Takkan abang nak buat bukan-bukan.”

Sofea semakin tidak keruan. Huru-hara jiwa membuatkan stereng dipegang tidak kemas. Ke ­tengah, ke tepi. Mujur Chairil

pantas bantu memegang stereng.

Ya Allah! Mengapa kata-kata lelaki ini penuh sihir? Bagai mantera penuh pesona! Sofea berkeluh di dalam bisu. Tingkap kereta memang tidak ditutup rapat. Semilir menerjah masuk, membisik gemersik, bagai membawa isyarat penasaran hati Chairil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 12:38 PM