PELANTAR bertanggang digunakan untuk menunggang.
PELANTAR bertanggang digunakan untuk menunggang.
TERUJA belai kuda.
TERUJA belai kuda.
Nurul Husna Mahmud


Keterujaan jelas terukir pada wajah 15 kanak-kanak mengikuti program Horses Are Fun apabila melihat kuda bakal ditunggang mereka.

Program anjuran Taman Ekuestrian Putrajaya bertujuan memberi pendedahan awal mengenai aktiviti atau sukan berkuda sering dianggap sangat eksklusif oleh orang ramai.

Justeru, pusat rekreasi berkuda itu mengambil inisiatif dengan menganjurkan program membabitkan orang ramai terutama peminat sukan rekreasi menerusi beberapa program termasuk seawal pembabitan peringkat kanak-kanak.

Selain perseorangan, pihak taman berkenaan mengalu-alukan penyertaan kelab mahupun agensi tertentu dalam sukan berkuda yang secara tidak langsung membantu memperkembangkan sukan berkuda sebagai pilihan sukan rekreasi di Malaysia.

Mahu orang ramai lebih berpeluang mencuba sukan berkuda

Menurut Pengurus ARL Equestrian, Rayani Abd Razak, pihaknya sentiasa aktif menganjurkan program bersesuaian dengan keperluan pengunjung luar yang ingin berjinak-jinak dengan sukan berkuda.

Katanya, program ‘Horses Are Fun’ adalah contoh usaha pihaknya menggamit perhatian masyarakat lebih meminati sukan kuda.

“Sukan kuda tidak eksklusif dan semua mempunyai peluang andainya mereka tahu saluran betul seperti pusat ekuestrian kami.

“Kami ada aktiviti seperti ‘fun ride’ dan kelas untuk mereka yang mempunyai hasrat menguasai kemahiran menunggang. Mereka boleh hubungi kami dan lihat kelas mahupun program bersesuaian.

“Selain berkuda, kami ada fasiliti lain seperti padang untuk aktiviti keluarga. Kami juga berkolaborasi dengan kelab lain seperti memanah supaya wujud pelbagai aktiviti dalam taman ekuestrian ini.

“Jadi, saya berharap lebih ramai akan datang mencuba serta menyertai sukan berkuda. Ia tidak saja menyeronokkan malah baik untuk kesihatan,” katanya.

Berdebar kerana tiada pengalaman menunggang kuda

Tubuh kecil Sharifah Nur Adriana Syed Mohd Khairul Asraf, tidak sepadan dengan ketinggian serta bidang badan kuda tinggi.

Namun ridak wajah kanak-kanak berkenaan dilihat sungguh teruja mengenakan topi pelindung khas serba hitam dalam persediaan menunggang kuda.

Katanya, meskipun berdebar kerana tidak pernah menunggang kuda sebelum ini, perasaan teruja membuatnya hilang rasa gementar.

“Takut masa awal sebab nampak kuda sangat tinggi. Mula duduk atas pun begitu tetapi sudah lama jalan dan pusing-pusing sekitar pusat ekuestrian, rasanya tidak puas pula.

“Kuda membawa saya juga jinak dan ditarik jurulatih perlahan-lahan berjalan sekitar taman, jadi gayat hilang. Lepas ini jika ada peluang saya ingin menunggang bersama keluarga,”katanya.

Mengenai persiapan menunggang, Adriana berkata, tiada yang rumit dan semuanya disediakan pusat rekreasi terbabit.

“Menunggang kuda tidaklah rumit kerana saya dan kawan mengawal kuda menggunakan tali khas. Jurulatih akan memberi arahan mudah seperti memegang tali serta betulkan posisi duduk dengan lebih selesa.

“Jadi, kena pakai kasut dan baju selesa untuk bersukan. Kami juga diberi topi berwarna hitam berfungsi seperti topi keledar melindungi kepala,” katanya.

Selesa bersama kuda kerana haiwan itu jinak dan manja

Bagi peserta Danial Haziq Zurfahiz, 10, dia tidak takut berada dekat dengan kuda kerana haiwan itu jinak dan manja.

Jurulatih meminta kami menggosok atau membelai. Penting bagi kuda untuk tahu kita suka dan selesa kerana, kata jurulatih, kuda tahu sama ada saya takut atau tidak.

“Kami juga memberi kuda makan dan menariknya, kuda ini makan kurma dan juga buah mengikut diet ditetapkan penjaganya. Selain itu jurulatih memberitahu kuda juga perlu dimandi dan diberus memastikan ia sihat dan boleh ditunggang,” katanya.

Kata Danial, lebih seronok dalam program berkenaan ialah slot membuat hasil kraf bertemakan kuda.

“Selain menunggang, kami belajar membuat topeng dan beberapa kerja seni kraf bertemakan kuda. Memang seronok. Ia berbeza daripada program luar yang pernah saya sertai. Mungkin selepas ini saya ingin belajar menunggang kuda dengan lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:02 AM