ZAINAL (belakang tengah) meraikan kejayaan Kartallar dan TJJ.
ZAINAL (belakang tengah) meraikan kejayaan Kartallar dan TJJ.
Mohd Badlishah Mohd Ali

Kuantan: Zainul Arifin Ahmad Latifi muncul wira Kartallar apabila gol tunggalnya membantu pasukan dari Selangor itu muncul juara kategori Bawah 16 Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2015 (KFMHB) selepas menumpaskan TJJ FC pada aksi final berlangsung di Planet Sports Centre, Kuantan, baru-baru ini.

Sebelum itu pada separuh akhir Kartallar menang ke atas Last Card menerusi lambungan syiling selepas kedudukan terikat 2-2 hasil sepakan penalti manakala TJJ FC membenam cabaran RSJ FC 3-0.

Hasil kejayaan itu Kartallar menerima RM800, pingat, barangan Milo-Figos manakala TJJ FC selaku naib juara menerima RM600, pingat dan barangan Milo-Figos.

Dua pasukan yang tewas di separuh akhir - RSJ FC dan Last Card - masing-masing menerima RM400, medal dan barangan Milo-Figos.

Kejayaan Kartallar turut warnai dengan pemilihan Zainul Arifin sebagai pemain terbaik final manakala Muhammad Azim penjaga gol terbaik.

Sementara itu, Stylo Mylo B dari Johor Bahru tidak menghadapi masalah menewaskan Nibong Junior B 4-0 pada final kategori Bawah 12.

Dua pemain Stylo Mylo B Amirul Amri dianugerah pemain terbaik final manakala Muhammad Harif Mustaqim (penjaga gol terbaik).

Pada saingan separuh akhir Stylo Mylo B mengecewakan wakil Kelantan Mansrina Junior C 3-2 manakala Nibong Junior B menang tipis 1-0 ke atas Mansrina Junior D.

Kartallar, TJJ FC, Stylo Mylo B dan Nibong Junior B akan membawa cabaran Pahang ke saingan Grand Final di Ampang Sports Planet pada 6 Disember ini.

Hadiah peringkat negeri Pahang disampaikan wakil Nestle Product Sdn Bhd Pahang, Zainal Alias.

Sports Planet Subang, Selangor akan menjadi medan terakhir untuk pasukan yang belum layak ke peringkat Grand Final mengisi lapan kekosongan bagi melengkapkan senarai 64 pasukan. Maklumat lanjut kejohanan sila layari www.milo.
com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:47 AM