Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar negara, semalam mengumumkan pelaksanaan Skim Pemisahan Bersama (MSS) kepada kakitangannya.

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, skim berkenaan sebahagian daripada pelan rasionalisasi dan konsolidasi kumpulan.

Katanya, MSS yang ditawarkan kepada semua kakitangan syarikat terbabit dan tidak diwajibkan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela dengan pelan dijangka selesai pada 15 Disember ini.

Media Prima menyatakan pelaksanaan skim itu sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengkonsolidasikan kedudukannya sebagai kumpulan media terbesar negara yang mampu berdaya saing meskipun berhadapan dengan persekitaran operasi yang kian mencabar dan persaingan sengit di dalam industri.

“Skim berkenaan juga memberi manfaat dan peluang kepada kakitangan Media Prima yang berhasrat untuk mencari peluang baru di luar kumpulan.

“Pihak berkuasa dan kesatuan-kesatuan pekerja yang berkaitan telah dimaklumkan mengenai perlaksanaan skim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:04 AM