Oleh Hazril Md. Nor

HAZRIL MDNOR pilih dua aplikasi FPS yang sememangnya seronok dimainkan di peranti pintar yang lebih kecil paparannya.

First Person Shooter (FPS) seolah-olah menjadi nadi dalam arena permainan video. Genre yang penuh adrenalin ini dikemas kini dan menawarkan aksi dinamik serta menjadikan kita sebagai pemain berasa hebat walaupun hanya seketika.

Dengan kehadiran teknologi peranti pintar yang mem­fokuskan penggunaan cip pemprosesan lebih berkuasa daripada sebelumnya, anak muda boleh merasai keseronokan bermain konsol di pelantar yang lebih kecil seperti telefon pintar ataupun ‘tablet’ bersaiz kompak.

Soalnya, aplikasi permainan manakah yang berbaloi dicuba? Jutaan aplikasi di Playstore dan Appstore mungkin mengelirukan anak muda membuat pilihan. Justeru, Gen Y memilih dua aplikasi permainan berkonsepkan FPS yang dirasakan menarik dan harus dicuba sesiapa saja.

Modern Combat 5: Blackout

Siri kelima Modern Combat menjanjikan keseronokan berbeza di peranti pintar. Grafiknya ditingkatkan malah ciri permainan berseorangan dinaik taraf dari segi pengolahan ceritanya yang menarik. Sokongan ‘multiplayer’ juga disediakan seperti keluaran sebelumnya dan anda perlu bertarung dengan pemain lain dalam formasi skuad.

Dalam siri kali ini, ia memperkenalkan empat jenis pilihan karakter yang boleh dipilih iaitu Assault, Heavy, Recon dan Sniper. Setiap karakter menentukan bagaimana corak permainan anda, malah lebih lama anda menggunakan karakter itu, anda berupaya mengatur dan mempelajari skil baru.

Mod permainan berseorangan ternyata berlainan daripada keluaran sebelumnya. Latar tempatnya yang pelbagai contohnya dari bandar Venice ke Tokyo membuktikan aplikasi ini dinaik taraf kandungannya.

Selain itu, ia juga membabitkan visual sinematik yang memerlukan hero anda melakukan pelbagai aksi untuk terus hidup ataupun pertarungan membabitkan serangan tembak-menembak daripada helikopter dan banyak lagi.

Tambahan pula, ­fungsi ‘multiplayer’ menjadi nadi permainan ini apabila ia membabitkan perlawanan antara skuad. Ditambah pula fungsi ‘chat’ antara skuad dan pemain lain dari seluruh dunia serta ‘leaderboard’ mampu membuatkan sesiapa saja menggemari permainan ini.

Dead Trigger 2

Padat dengan letupan bom dan aksi tembak-menembak, namun masih utamakan elemen seram. Itulah kelebihan aplikasi permainan Dead Trigger 2. Sama seperti keluaran sebelumnya, pemain perlu berjuang untuk terus hidup dan menaik taraf senjata api demi mematahkan serangan mayat hidup.

Namun, anda bukan berseorangan dalam permainan ini kerana ia memfokuskan sokongan ‘multiplayer’ di mana plot ceritanya berkembang secara masa nyata, justeru usaha daripada setiap orang perlu diambil kira.

Sebagai contoh, anda perlu bekerjasama dengan pemain lain menghapuskan populasi mayat hidup di sesebuah bandar utama sambil bersaing mendapatkan ganjaran siapa yang membunuh ‘zombie’ paling ramai.

Ia juga menawarkan kebebasan kepada pemain me­ngawal karakter untuk bergerak ke mana saja dalam misi yang dijalankan. Dalam keluaran kedua ini, kawasannya diperluaskan, sekali gus memberi ruang kepada pemain meneroka setiap pelosok kota.

Terdapat juga kategori mayat hidup istimewa yang lebih ganas dan kuat berbanding ‘zombie’ biasa. ‘Scienfist’ misalnya mampu mengeluarkan radiasi yang boleh meragut nyawa pemain secara perlahan-lahan dan juga Rager yang boleh menyerang serta menjatuhkan pemain dengan tubuhnya yang besar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 11:12 AM