DIVISION menampilkan elemen ‘cover shooter’ dimainkan secara solo atau berkumpulan.
DIVISION menampilkan elemen ‘cover shooter’ dimainkan secara solo atau berkumpulan.

The Division dibangunkan dengan konsep berbeza daripada Ubisoft. HAZRIL MD NOR pasti peminat francais Tom Clancy terhibur dengan keluaran terbaru ini.

Bukan zombi, bukan hantu tapi dunia ‘kosong’ bersalji yang dilanda virus melenyapkan manusia di muka bumi Manhattan. Itulah konsep berani yang cuba dipersembahkan oleh The Division, keluaran terbaru francais Tom Clancy yang hangat diperkatakan oleh netizen.

Secara visual, Division bergantung sepenuhnya pada latar bandar Manhattan yang hampir musnah akibat pandemik. Anda sebagai ejen The Division perlu menggalas tugas berat untuk membanteras aktiviti jenayah dan menyiasat punca sebenar wabak virus yang diubah secara genetik itu.

Interaksi minimum

Berjalan dalam formasi sepanjang bandar berhantu itu mungkin seronok dialami secara maya. Dengan konsep dunia terbuka, pastinya setiap elemen, objek mahupun grafik diberi sentuhan menarik menggambarkan kecanggihan teknologi masa kini.

Namun, indah khabar dari rupa saja kerana bagi penulis, Division tidak melengkapkan formula ini sepenuhnya. Tiada interaksi secara nyata dengan dunia sekeliling. Apatah lagi interaksi yang kurang relevan dengan ejen lain. Lebih mengecewakan, karakter anda diam membisu ketika ‘cutscene’ dan tidak memberi maklumat apabila berbincang mengenai misi semasa.

Lebih seronok dengan rakan

Seramai empat ejen yang berjalan dalam formasi. Justeru, permainan ini mampu memuatkan sehingga empat orang pemain. Kelebihan ‘multiplayer’ ini mampu mencorakkan gaya permainan setiap pemain.

Sebagai contoh, aksi berlawan berpaksi sepenuhnya pada sistem ‘cover shooter’ apabila unsur persekitaran boleh dimanfaatkan sebagai tembok perlindungan. Anda boleh memilih lokasi perlindungan berlainan dan seterusnya menunjukkan kemahiran menggunakan senapang berbeza.

Sistem ‘loot’

Sama seperti kebanyakan genre Massive Multiplayer Online (MMO) yang lain, musuh ditewaskan akan menjatuhkan kelengkapan. Peluru, ubat, senjata mahupun perisai akan dijatuhkan sekiranya anda ‘bertuah’.

Kelengkapan perisai memainkan peranan penting di sini. Ia mampu berikan bonus pada statistik karakter seperti ‘Firearms, ‘Stamina’ dan ‘Electronics’. Anda perlu bijak seimbangkan statistik ini sesuai dengan gaya permainan.

INFO:

TEMPAT ‘LOOT’

- Arena pemain lawan pemain (PVP) bertempat di Darkzone boleh diakses dari beberapa ‘checkpoint’. Kawasan kuarantin ini dipenuhi oleh penjahat yang memiliki barangan hebat dan berbaloi dimiliki.

- Perlu berhati-hati kerana kawasan ini juga terdapat ejen lain yang ingin merebut ‘loot’ anda. Untuk itu, hantar barang ke kubu utama dengan mencari lokasi ‘extraction’ yang selamat.

- Jika anda terserempak dengan ejen lain, berkemungkinan mereka akan bekerjasama. Jangan lupa amalkan prinsip ‘tidak percaya’ kerana mereka juga boleh mengkhianati anda dan seterusnya merampas ‘loot’.

- Status ‘Rogue’ digunakan untuk membuat onar dalam Darkzone tapi hati-hati kerana kematian karakter anda akan berikan ejen lain ganjaran lumayan. Jika anda membunuh ejen lain, jangka masa status akan dipanjangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 12:43 PM