Aktivis haiwan berhimpun bagi menyatakan sokongan terhadap rang undang-undang pengharaman pengambilan daging anjing. - FOTO AFP
Aktivis haiwan berhimpun bagi menyatakan sokongan terhadap rang undang-undang pengharaman pengambilan daging anjing. - FOTO AFP
BERNAMA-YONHAP

Seoul: Korea Selatan pada Selasa meluluskan rang undang-undang khas yang mengharamkan pengambilan daging anjing, membuka jalan untuk menamatkan amalan yang tidak disenangi sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Rang undang-undang itu, yang melarang pembiakan, penyembelihan, pengedaran, dan penjualan anjing untuk daging, diluluskan parlimen dengan 208 undi menyokong dan dua berkecuali, menurut agensi berita Yonhap.

Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang memerintah dan Parti Demokrat (DP) pembangkang utama telah bersama-sama mendesak larangan itu di tengah-tengah peningkatan kesedaran tentang hak haiwan dan peningkatan bilangan pemilik haiwan peliharaan di negara ini.

Rang undang-undang itu juga memerlukan pemberian subsidi bagi membantu individu dalam industri daging anjing untuk bertukar pekerjaan.

Wanita Pertama, Kim Keon Hee juga secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap larangan itu, dengan mengatakan mengharamkan amalan itu adalah salah satu janji kempen Presiden Yoon Suk Yeol.

Yoon dan Kim dikenali sebagai pencinta haiwan peliharaan dan tinggal bersama empat anjing dan tiga kucing.

Penguatkuasaan undang-undang dijadualkan bermula pada 2027, selepas penangguhan selama tiga tahun, dan mereka yang ingkar boleh berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga 30 juta won (AS$22,768).

Menurut statistik kerajaan, terdapat sekitar 1,150 ladang anjing, 34 pusat penyembelihan, 219 pengedar dan kira-kira 1,600 restoran yang menjual makanan yang dibuat dengan daging anjing di Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 5:08 PM