Empat beranak ini meredah panas dan hujan menggunakan motosikal. FOTO Mior Azlan
Empat beranak ini meredah panas dan hujan menggunakan motosikal. FOTO Mior Azlan
Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, tetapi realitinya itulah yang dilalui Soraya Mazuin, 29, bersama suami, Mohd Sani Shaari, 32, yang hidup dalam serba kekurangan di ibu kota.

Soraya sakit, dua anaknya juga sakit dan untuk ke mana-mana termasuk mendapatkan rawatan di hospital hanya motosikal suami yang dibonceng kerana itu satu-satunya kenderaan yang ada.

Panas dan hujan terpaksa diredah sehingga bayi lelaki yang baru berusia tujuh bulan kepanasan serta kebasahan.

Akibat penyakit saraf dihidapi Soraya sejak lebih 13 tahun lalu, Mohd Sani perlu menjaganya serta dua anak mereka sehingga sukar untuk bekerja dan hanya mengambil upah sebagai pekerja sambilan di hotel dengan pendapatan RM40 setiap kali dipanggil untuk sesuatu majlis.

Menurut Soraya, dia mempunyai empat anak, tetapi anak pertama dan kedua masing-masing dijaga oleh ibunya dan diserahkan kepada orang lain.

Katanya, dua anak yang bersamanya, iaitu anak ketiga, Muhammad Syamimi Sufi Mohd Sani, 2, menghidap penyakit jangkitan paru-paru sejak usianya dua bulan manakala anak bongsunya, Syam Haqqimi Sufi yang berusia tujuh bulan mengalami masalah saluran pernafasan sejak usianya sebulan

Katanya, suami tidak berani untuk meletakkan sepenuh tanggungjawab menjaga anak kepadanya kerana penyakit dialaminya itu.

"Pernah sebelum ini saya mendukung anak ketiga dan terjatuh menyebabkan dia cedera di kepala. Saya juga tidak boleh berjalan terlalu lama dan hanya boleh duduk saja.

"Sejak kejadian itu suami yang banyak menjaga saya serta dua anak kami sehingga menyukarkan dia untuk bekerja dan hanya mengambil upah sebagai pekerja sambilan di hotel.

"Saya ada menerima wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 manakala wang bantuan Baitulmal RM350, namun wang bantuan itu digunakan untuk perbelanjaan anak kami termasuk membeli susu serta lampin pakai buang," katanya.

Kisah Soraya sebelum ini pernah ‘viral’ baru-baru ini selepas seorang wanita dikenali sebagai Shila Samsudin, 27, membuat coretan di Facebooknya mengenai nasib wanita itu.

Shila menumpangkan Soraya dan dua anaknya menaiki keretanya selepas melihat mereka basah kuyup berhampiran jejambat di Jalan Tun Razak.

Menceritakan kembali kejadian itu, Soraya berkata, dia bersama suami serta dua anaknya termasuk anak bongsu yang berusia tujuh bulan mahu mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum tiba-tiba hujan lebat dan mereka basah kuyup sebelum memberhentikan motosikal.

"Saya hanya mampu melindungi anak bongsu yang duduk di tengah menggunakan selendang manakala anak ketiga duduk di depan dan memakai topi keledar menyebabkan kami basah kuyup.

"Suami memberhentikan motosikal di bawah jejambat dan hampir 10 minit saya dihampiri Shila yang menawarkan untuk menumpangkannya serta dua anaknya menaiki kereta .

"Saya kemudiannya menerima tawarannya yang turut bermurah hati untuk menghantar saya dan dua anak ke HKL manakala suami mengekori kami dengan menunggang motosikal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaannya ketika itu apatah lagi melihat reaksi anaknya yang sangat teruja menaiki kereta memandangkan sebelum ini mereka tidak pernah merasa situasi sedemikian.

"Alhamdulillah, masih ada yang prihatin terhadap nasib kami. Saya tak tahu macam mana nak balas jasa wanita itu yang juga sanggup menunggu saya mendapatkan rawatan penyakit saraf saya," katanya.

Katanya, selepas mendapatkan rawatan, wanita itu turut menghantarnya bersama dua anaknya pulang ke rumah selain membelikan mereka nasi ayam dan menghulur sedikit bantuan kewangan.

"Alhamdulillah hubungan saya dengan wanita itu semakin rapat sehingga hari ini selain saling bertanya khabar hampir setiap hari," katanya.

Sementara itu, Shila berkata, nalurinya sebagai ibu menyebabkan timbul rasa kasihan ketika melihat dua anak wanita itu basah kuyup.

"Sebagai ibu, saya lebih memahami dan tidak sampai hati melihat keadaan mereka terutama dua anak itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Shila yang juga ibu kepada dua anak berusia empat dan dua tahun berharap hubungan baiknya dengan Soraya akan berkekalan sampai bila-bila dan sedia membantu mereka dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 11:11 PM