BELON membawa sampah dari Korea Utara jatuh di sawah di Seonwon-myeon, daerah Ganghwa, di bandar Incheon pada 10 Jun. FOTO AFP
BELON membawa sampah dari Korea Utara jatuh di sawah di Seonwon-myeon, daerah Ganghwa, di bandar Incheon pada 10 Jun. FOTO AFP
Syarifah Dayana Syed Bakri

Baja, putung rokok, serpihan kain, bateri terpakai dan lampin pakai buang. Itu antara kandungan dalam belon besar yang dihantar Korea Utara ke Korea Selatan.

Minggu lalu, kira-kira 260 belon membawa sampah berkenaan yang dibawa oleh angin, jatuh ke seluruh Korea Selatan, termasuk sejauh daerah Geochang, kira-kira 218 kilometer dari Seoul, menurut agensi berita Yonhap.

Kempen itu turut disertai dengan percubaan Korea Utara untuk menyekat sistem GPS di Korea Selatan.

Tentera Korea Selatan menggelar tindakan itu sebagai 'berbahaya' dan mengerahkan unit pelupusan bahan letupan dan pasukan tindak balas peperangan kimia dan biologi untuk memeriksa dan mengutip sampah yang dijatuhkan.

Ia juga mengeluarkan amaran kepada penduduk supaya menjauhkan diri dan melaporkan sebarang keraguan kepada pihak berkuasa.

Korea Utara berkata belon itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap kempen propaganda berterusan oleh pembelot dan aktivis Korea Utara di Korea Selatan, yang kerap menghantar belon yang mengandungi risalah anti-Pyongyang, makanan, ubat, wang dan stik USB yang sarat dengan video muzik K-pop dan K-drama.

Kim Yo Jong, kakak kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan seorang pegawai parti pemerintah yang berkuasa, mengeluarkan kenyataan melalui Agensi Berita Pusat Korea, mengutuk Seoul sebagai 'memalukan, kurang ajar' kerana mengkritik penghantaran belon itu sambil mempertahankan kebebasan rakyatnya bersuara.

Dia mendakwa belon Korea Utara adalah 'hadiah ikhlas' untuk warga Korea Selatan yang 'menangis untuk kebebasan bersuara.'

Korea Utara sangat sensitif terhadap risalah yang dihantar aktivis Korea Selatan kerana ia membawa maklumat mengenai dunia luar dan kritikan terhadap pemerintahan tiga generasi dinasti Kim sejak penubuhan Korea Utara oleh Kim Il Sung pada 1948.

Seoul cuba menangani kebimbangan Korea Utara pada tahun itu, meluluskan undang-undang yang menjadikan penghantaran risalah propaganda anti-Pyongyang sebagai jenayah, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda 30 juta won.

Tetapi pada 2023, Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan telah membatalkan undang-undang yang menyebutnya sebagai sekatan kebebasan bersuara yang berlebihan.

Beberapa hari selepas belon sampah Korea Utara pertama tiba di Korea Selatan, tentera Seoul berkata ia telah mengumpul 700 lagi beg sampah yang dihantar dari Korea Utara.

Pelancaran baharu itu mendorong Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol untuk mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negaranya, yang menjanjikan langkah-langkah yang 'tidak boleh ditahan' sebagai tindak balas.

Beberapa jam kemudian, pada malam Ahad, Kim Kang Il, naib menteri pertahanan Korea Utara berkata Pyongyang akan menangguhkan sementara aktiviti penghantaran belon yang ketika itu sudah mencapai jumlah 3,500 yang membawa 15 tan kertas buangan.

Dia mendakwa kempen itu telah meninggalkan Korea Selatan dengan 'pengalaman yang mencukupi' untuk 'mengajar Korea Selatan.'

Katanya, sekiranya aktivis Korea Selatan masih menghantar risalah propaganda anti-Pyongyang, pihaknya memberi amaran untuk menabur kertas buangan dan sampah secara intensif 100 kali ganda jumlah risalah yang mereka terima.

Pada Selasa lalu, kerajaan Korea Selatan mengumumkan bahawa ia akan menghentikan perjanjian ketenteraan antara Korea 2018, dengan mengatakan pengapungan belon berskala besar telah 'mengancam keselamatan rakyat dan menyebabkan kerosakan harta benda.'

Perjanjian 2018 dicapai dalam tempoh perdamaian yang singkat antara Kim dan Presiden Korea Selatan yang liberal ketika itu, Moon Jae-in.

Di bawah pakatan itu, kedua-dua negara bersetuju untuk 'menghentikan sepenuhnya semua tindakan permusuhan antara satu sama lain', termasuk penyiaran propaganda dan latihan ketenteraan berhampiran sempadan.

Bagaimanapun, Korea Utara kemudian mengisytiharkan ia tidak lagi terikat dengan perjanjian itu dan mengerahkan tentera dan senjata di pos pengawal sempadan.

Ia secara langsung menyebabkan Korea Selatan mengambil langkah menyambung semula siaran pembesar suara di sempadan yang diarahkan ke Korea Utara buat kali pertama dalam tempoh enam tahun sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon yang membawa sampah oleh Pyongyang ke Korea Selatan.

Sehingga 24 pembesar suara berkuasa tinggi disusun dalam rak pegun yang besar setinggi 6 meter dan 3 meter lebar dan diletakkan di lokasi berbeza di sebelah pinggir sempadan.

Pada output maksimum, pembesar suara meledakkan suara dan muzik lebih daripada 20km ke Korea Utara, cukup jauh untuk menjangkau ramai tentera dan orang awam.

Bekas Presiden Korea Selatan Park Geun-hye berkata pada 2016 siaran pembesar suara adalah 'bentuk perang psikologi yang paling berkesan' dan mereka telah menggalakkan rakyat Korea Utara mempertaruhkan nyawa mereka dan berpaling tadah kepada kebebasan di Selatan.

Berita dunia, ulasan mengenai sistem politik Korea Utara dan pemimpinnya, dan laporan cuaca bercampur lagu popular K-pop, dikatakan oleh beberapa pembelot Korea Utara meninggalkan kesan berpanjangan secara psikologi.

Umpama konflik dalam K-drama, dunia hanya perlu sediakan bertih jagung untuk terus menyaksikan kesudahan persengketaan dua seteru ini.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 7:01 AM