Riyadh: Dua lagi pengawal sempadan Saudi terbunuh dalam serangan terbaru pemberontak Houthi dari Yaman.

Agensi berita rasmi Saudi (SPA) melaporkan, kejadian berlaku di daerah Jazan.

Arab Saudi mengetuai serangan udara pakatan Arab terhadap pemberontak Houthi dan sekutu mereka di Yaman sejak 26 Mac lalu.

Di Sanaa, laman web Sabanews.net yang propemberontak melaporkan, kumpulan Houthi menyerang kedudukan pengawal sempadan Saudi Ahad lalu di Aseer dan Jazan, memusnahkan kenderaan tentera dengan serangan roket
Katyusha di samping membunuh beberapa anggota keselamatan Saudi.

Kejadian kelmarin meningkatkan jumlah kematian dalam kalangan rakyat Saudi di sempadan dengan Yaman kepada 51 sejak 26 Mac lalu.

Kebanyakan yang terbunuh ialah tentera.

Di Yaman, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, peperangan itu meragut lebih 4,300 nyawa, separuh daripada mereka orang awam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 10:10 AM