ORANG ramai menemui mayat seorang lelaki yang maut dalam serangan udara terhadap pusat penahanan di Hodeidah. - Reuters
ORANG ramai menemui mayat seorang lelaki yang maut dalam serangan udara terhadap pusat penahanan di Hodeidah. - Reuters
AFP

Aden: Sekurang-kurangnya 60 orang termasuk banduan terbunuh dalam serangan udara diketuai Arab Saudi ke atas bangunan keselamatan yang dikuasai pemberontak di barat Yaman termasuk sebuah pusat tahanan, kata seorang pegawai semalam.

“Seramai 60 orang terkorban dan puluhan lain cedera,” kata pegawai perubatan di Hodeidah, bandar yang dikuasai pemberontak Syiah Houthi dan sekutunya sejak akhir 2014.

Dia tidak menyatakan bilangan sebenar tahanan yang terbunuh dalam serangan Sabtu lalu, namun mendakwa kebanyakannya menentang pemberontak Houthi.

“Kira-kira 100 banduan ditahan di dalam dua lokap,” katanya.

Sementara itu, sumber tentera berkata, lebih 40 banduan ditahan di lokasi itu, kebanyakannya ditangkap kerana menentang Houthi.

Masih tidak jelas apa yang menyebabkan gabungan tentera Arab Saudi menyerang bangunan yang menahan banduan antipemberontak.

Sementara itu, kelmarin, portal berita sabanews.net melaporkan empat serangan udara memusnahkan tiga kediaman di Taez, membunuh 17 orang - termasuk seorang kanak-kanak serta tujuh wanita - dan mencederakan tujuh yang lain.

Seorang pegawai kerajaan mengaku kejadian itu satu kesilapan.

“Semua yang berada di dalam rumah terbabit terbunuh,” katanya.

Namun tentera sendiri tidak mengulas mana-mana kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 11:14 AM