DARI kiri, Ketua Pegawai Eksekutif  Faltish Ventish Sdn Bhd, Lau Kin Wai,  Nazrin, Pengerusi Cradle Fund Sdn. Bhd, Datuk Mohd Sallehudin Othman, Pengarah Eksekutif OSK Ventures International, Patrick Yee dan Rakan Teroka di Crystal Horse Investments, Kelvin Goh pada majlis pertukaran dokumen kerjasama pelaburan Cradle dengan empat syarikat pelaburan di  Kuala Lumpur, semalam.
DARI kiri, Ketua Pegawai Eksekutif Faltish Ventish Sdn Bhd, Lau Kin Wai, Nazrin, Pengerusi Cradle Fund Sdn. Bhd, Datuk Mohd Sallehudin Othman, Pengarah Eksekutif OSK Ventures International, Patrick Yee dan Rakan Teroka di Crystal Horse Investments, Kelvin Goh pada majlis pertukaran dokumen kerjasama pelaburan Cradle dengan empat syarikat pelaburan di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Cradle Fund Sdn Bhd (CRADLE) akan terus menyuntik pelaburan menerusi pemilikan ekuiti ke atas syarikat berpotensi untuk menjana pendapatan berbanding bergantung sepenuhnya kepada geran yang disediakan kerajaan bagi menyokong pemain industri teknologi maklumat.

Dalam tempoh 2003 hingga 2013 sejumlah RM180 juta geran sudah disalurkan kepada hampir 700 syarikat teknologi tempatan yang mana 70 peratus terbabit dalam subsektor teknologi maklumat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazrin Hassan berkata, setiap tahun CRADLE menerima peruntukan sehingga RM30 juta yang mana 70 peratus daripada jumlah itu akan disuntik ke dalam pelaburan ekuiti manakala 30 peratus adalah geran sehingga 2017.

Beliau berkata, pada Jun 2013, Cradle sudah mengadakan kerjasama pelaburan dengan Golden Gate Ventures Pte Ltd tanpa membabitkan kemasukan ekuiti kepada mana-mana syarikat.

“Ketika ini, Cradle bekerjasama dengan empat syarikat pelaburan tempatan dan asing untuk mengadakan pelaburan ekuiti bersama dan menjadikannya sebagai projek pertama Cradle yang menyertai pelaburan ekuiti bagi menjana pendapatan.

“Menerusi kerjasama ini, setiap pelabur akan menyuntik sehingga RM500,000 ke dalam ekuiti antara tiga hingga 10 syarikat berpotensi dengan pulangan pelaburan (ROI) antara 10 hingga 20 peratus setahun,” katanya pada majlis pertukaran dokumen kerjasama pelaburan Cradle dengan empat syarikat pelaburan, di sini, semalam.

Empat syarikat itu ialah Faltish Ventish Sdn Bhd, OSK Ventures International Bhd, CoENT Ventures Partners Pte Ltd dan Crystal Horse Investment Pte Ltd dengan nilai pelaburan sebanyak RM11.5 juta yang memberi sokongan kepada syarikat teknologi Malaysia bersaing di peringkat global.

Nazrin berkata, daripada tempoh penyaluran geran yang diberikan kepada syarikat atau individu permulaan dalam industri itu, sejumlah 59 peratus berjaya mencatatkan kejayaan dalam mengkomersialkan produk mereka di pasaran.

“Antara yang mencatatkan kejayaan selepas menerima saluran dana daripada kami ialah syarikat aplikasi My Teksi, Intelligent Money, Piktochard dan Hypoband,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:05 AM