DR Mohd  Irwan   (kanan) bersalam dengan  Aziz   (kiri)       pada majlis pelancaran  CSV,   semalam.
DR Mohd Irwan (kanan) bersalam dengan Aziz (kiri) pada majlis pelancaran CSV, semalam.

Kuala Lumpur: Cradle Seed Ventures Pte Ltd (CSV), anak syarikat Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) merancang meningkatkan saiz dana Cradle Seed Ventures Fund 1 (CSVF-1) kepada RM100 juta melalui sumbangan pelabur swasta dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif CSV, Aziz Hussein berkata, CSVF-1 dijangka melabur antara RM1 juta dan RM3 juta ke dalam syarikat permulaan teknologi Malaysia yang cemerlang pada tiga peringkat iaitu PraSiri A, Siri A dan Siri B.

Menurutnya, PraSiri A adalah syarikat yang berada pada peringkat prapengkomersialan apabila ia akan mengenal pasti pasaran yang jelas untuk pertumbuhan dan perkembangan berdasarkan keperluan serta peluang.

Sebanyak 70 peratus CSVF-1 akan dilabur dalam syarikat tempatan dengan selebihnya terbuka kepada syarikat permulaan seberang laut.

“Kami melihat kepada 30 hingga 40 syarikat permulaan dan berharap untuk mengadakan dua perjanjian pelaburan menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran CSV di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah yang turut melancarkan CSV.

CSV adalah pembiaya dan pempengaruh peringkat awal ekosistem permulaan teknologi Malaysia yang kini ia mempunyai dana permulaan RM40 juta disuntik Kementerian Kewangan melalui Cradle.

Beliau berkata, syarikat dijangka melabur dalam enam hingga lapan syarikat bagi tempoh dua tahun akan datang.

“Kami sedar mengenai keperluan nilai tambah dan akan membantu syarikat sasaran untuk berkembang di samping mengawasi pembangunan syarikat yang bakal dilabur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:12 AM