DARI kiri, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama Involve Asia, Jimmy How, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Seed Ventures (CSV), Aziz Hussein dan Ketua Pegawai Operasi Involve Asia, Sabrina Chang pada pengumuman pelaburan pertama CSV.
DARI kiri, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama Involve Asia, Jimmy How, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Seed Ventures (CSV), Aziz Hussein dan Ketua Pegawai Operasi Involve Asia, Sabrina Chang pada pengumuman pelaburan pertama CSV.

Kuala Lumpur: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), syarikat pengurusan Program Pelaburan Cradle akan menerima sejumlah RM30 juta di bawah dana peringkat awal untuk disalurkan kepada syarikat yang terbabit dalam teknologi di negara ini, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazrin Hassan berkata, jumlah terbabit adalah sama seperti tahun ini dan ia dilihat masih mencukupi untuk disalurkan kepada syarikat terbaik Malaysia meskipun pihak kerajaan berhasrat meningkatkan peruntukan dana itu tahun depan.

“Kami enggan menerima lebih banyak peruntukan dari kerajaan kerana jumlah sedia ada dilihat berfungsi kepada syarikat yang memiliki kualiti dan standard terbaik selari dengan matlamat untuk mengekalkan rekod cemerlang dalam menyalurkan dana ini kepada mereka,” katanya pada majlis pengumuman pelaburan pertama Cradle Seed Ventures (CSV), semalam.

Beliau berkata, penerimaan jumlah dana sama seperti tahun lalu menunjukkan petanda yang baik memandangkan langkah kerajaan mengurangkan peruntukan dana kepada agensinya.

“Dana ini akan disalurkan kepada syarikat dalam bentuk pelaburan ekuiti secara langsung, pelaburan bersama dan geran,” katanya.

Sehingga kini, Cradle Fund menguruskan dana sejumlah RM127 juta di mana ia merangkumi pelaburan bersama sebanyak RM57 juta, peruntukan kerajaan bagi 2015 (RM30 juta) dan modal teroka (RM40 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 6:52 AM