Kuala Lumpur: Cradle Fund Sdn Bhd meningkatkan jumlah pakatan strategiknya menerusi pelaburan secara bersama apabila mengumpulkan modal pelaburan RM56.7 juta bagi menyokong syarikat permulaan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazrin Hassan berkata, sebelum ini pihaknya menarik pelaburan secara bersama dengan lima syarikat asing dan tempatan dengan jumlah RM28 juta.

Terkini, lima lagi pakatan strategik berminat untuk bekerjasama dan menjadi pelabur kepada syarikat permulaan yang dilihat mampu berkembang dengan model perniagaan mereka.

Antara syarikat yang bersedia menjadi rakan pelaburan bersama Cradle bagi kumpulan ketiga adalah Captii Ventures Pte Ltd, Kathrein Ventures Pte Ltd, KK Fund, Start Up Nation Sdn Bhd dan Mercatus Ventures Sdn Bhd.

“Kami menjangkakan tahun ini sekurang-kurangnya 21 pakatan strategik akan bersama Cradle dan dianggarkan 170 syarikat permulaan bakal mendapat manfaat daripada pelaburan bersama ini.

“Manakala bagi Cradle Fund saja, kami memperuntukkan RM7 juta untuk aktiviti pelaburan secara bersama ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pengurusan Hubungan dan Pelaburan Cradle, Juliana Jan dan Ketua Pegawai Kewangannya, Ahmad Rizal Abd Razak.

Nazrin berkata, inisiatif pelaburan dibuat secara bersama adalah usaha Cradle Fund menarik pelabur asing terutama dana modal teroka dan kumpulan pelabur untuk melabur dalam perniagaan teknologi di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 8:28 AM