Razif Abdul Aziz.
Razif Abdul Aziz.
hmdigital

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) berjaya membantu lebih 900 syarikat pemula niaga meneroka perniagaan baru melalui pelbagai program pelaburan peringkat awal sejak ditubuhkan pada 2013.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Cradle, Razif Abdul Aziz berkata, peranan ekosistem syarikat pemula niaga yang melangkaui bidang inovasi dan teknologi ini penting dalam mengekalkan ekonomi yang semakin berkembang.

“Dalam kajian impak Program Pelaburan Cradle yang dilakukan pada tahun 2018, ekosistem syarikat pemula niaga Malaysia menyumbang RM3.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dari 2008 hingga 2016.

“Ia dijangka mencecah RM30.8 bilion pada tahun 2030, menjadikan peranan penting dalam keseluruhan proses pembinaan negara,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh sama, ekosistem ini juga telah mencipta 80,600 kerjaya sepenuh masa sekali gus menarik sejumlah RM1.3 bilion dana swasta dan asing.

“Cradle menerima antara 600 hingga 700 permohonan geran setahun dengan lebih 80 peratus datang daripada pemula niaga berasaskan digital seperti e-dagang, e-perkhidmatan dan perisian.

“Tugas memilih pemula niaga baharu yang berinovatif dan berbaloi untuk masyarakat semakin mencabar memandangkan kurang kepelbagaian atau menjalankan perniagaan yang hampir sama dengan syarikat sedia ada di pasaran.

“Kami menggalakkan lebih banyak permohonan geran daripada bidang teknologi bersifat fizikal seperti sains hayat dan teknologi hijau selain permohonan daripada usahawan-usahawan yang berani menangani isu sebenar yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini termasuk kesesakan jalan raya, pencemaran, rumah mampu milik, keselamatan makanan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Cradle berhasrat memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pelbagai penawaran geran dengan had dana tinggi, membangunkan ekosistem sokongan yang menarik lebih banyak pelabur dan memperluas jangkauan aktivitinya ke sektor dan komuniti yang kurang pendedahan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 6:56 AM