KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Shahrudin Hamzah, (dua kanan) memeriksa tong gas yang dirampas dalam Operasi Gas Petroleum Cecair (LGP) di Kawasan Perindustrian Kecil Sederhana (IKS) Kuala Ketil. FOTO Nor Farhani Che Ad
KETUA Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Shahrudin Hamzah, (dua kanan) memeriksa tong gas yang dirampas dalam Operasi Gas Petroleum Cecair (LGP) di Kawasan Perindustrian Kecil Sederhana (IKS) Kuala Ketil. FOTO Nor Farhani Che Ad

Kuala Ketil: Lebih 600 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dan 91 tong gas petroleum industri, dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Kuala Ketil, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Shahrudin Hamzah berkata dalam serbuan yang dijalankan pada 12.30 tengah hari itu, turut dirampas sebuah lori serta peralatan untuk memindahkan gas yang dianggarkan bernilai RM60,000.

Premis itu, katanya, dipercayai dijadikan stor bagi proses pemindahan gas berkenaan untuk kegunaan kilang dan restoran di sekitar kawasan Kuala Ketil dan Sungai Petani.

“Hasil risikan, didapati ada satu pembekal berlesen dari kawasan berhampiran premis itu, yang membekalkan gas kepada pemborong tidak berlesen untuk mengaut untung dengan cara mudah,” katanya selepas operasi tamat.

Shahrudin berkata, ketika serbuan dilakukan, dua pekerja sedang melakukan proses pemindahan gas daripada tong gas petroleum subsidi ke dalam tong gas petroleum industri, manakala seorang lagi sedang mengendalikan tong gas kosong di atas lori, dipercayai untuk dihantar kepada pembekal.

Bagaimanapun dua pekerja terbabit sempat meloloskan diri namun seorang lagi menyerah diri dan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan aktiviti memindahkan gas secara haram dan Peraturan 12A iaitu melanggar syarat berlesen, yang mana jika sabit kesalahan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 7:31 PM