43 artis pamer 59 karya di Balai Seni Visual Negara.
43 artis pamer 59 karya di Balai Seni Visual Negara.
Siti Salmiah A Hamid


Menyusuri sejarah Angkatan Pelukis Semalaysia (APS), ia sudah pun bertapak dalam negara sejak 1956 yang dibarisi pengkarya terkenal seperti Datuk Mohd Hoessein Enas.

Justeru, bagi memperingati penubuhannya seiring dengan mesyuarat agung APS, baru-baru ini, pameran Potret APS kini berlangsung di Galeri Potret Negara, Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur.

Kuratornya, Amiruddin Ariffin berkata, seramai 43 artis mengambil bahagian dengan mempamerkan 59 karya masing-masing.

“Artis berkenaan datang dari seluruh negara antaranya Kelantan, Kedah, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Pameran ini dibarisi artis seperti Imuda, Adzran Omar, Agus Sulaiman, Amir Hashim, Amy Hashim dan Dr Sadiah Abdullah.

“Sambutan yang menggalakkan itu mampu meningkatkan semangat pelukis APS dengan menyumbangkan sekurang-kurangnya dua karya,” katanya.

Lukisan potret berkenaan boleh didapati dari RM1,000 hingga RM8,000.

Kebanyakan pelukis lebih senang menggunakan medium cat air, cat minyak dan akrilik. Terdapat sesetengah artis mencabar diri dengan menggunakan arang, pensel di atas kertas dan benang di atas kanvas.

Pada masa sama, APS juga berharap dapat menarik golongan muda untuk sama-sama memperjuangkan seni.

Justeru, pameran Potret APS ini akan diadakan setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 5:02 AM