COUTINHO (kiri) ledak gol tunggal perlawanan.
COUTINHO (kiri) ledak gol tunggal perlawanan.
Reuters

London: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mendedahkan beliau hampir mengeluarkan Philippe Coutinho sebaik sebelum pemain Brazil itu meledak gol lewat membantu kemenangan 1-0 ke atas Stoke City pada aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Coutinho yang hanya beraksi satu perlawanan pramusim kerana pulang lewat selepas tampil bersama Brazil pada Copa America sedia digantikan oleh Danny Ings ketika Liverpool terdesak mencari gol kemenangan.

Namun dengan berbaki empat minit, Coutinho mengatasi cabaran dua pertahanan Stoke sebelum merembat kencang dari luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Jack Butland.

“Saya terlalu hampir mengeluarkannya,” kata Rodgers.

“Kami berusaha membuat pertukaran positif jadi dia dikeluarkan dan kami mahu membawa masuk Danny Ings.

“Ia satu jaringan hebat untuk memenangi perlawanan itu. Saya bangga mengekalkannya dalam permainan.”

Liverpool berakhir di tangga keenam musim lalu dan Rodgers menerima kritikan hebat daripada penyokong yang tidak berpuas hati, namun pengendali dari Ireland Utara itu mengekalkan jawatannya berikutan reviu hujung musim oleh pemilik kelab dari Amerika Syarikat.

Rodgers merombak skuadnya pada musim panas ini dan muka baru Christian Benteke, pemain tengah James Milner serta pertahanan Nathaniel Clyne dan Joe Gomez semuanya bermula dalam kesebelasan utama di Stadium Britannia.

Liverpool berdepan semua lima pasukan terbaik musim lalu di laman lawan sebelum hujung November ini dalam jadual merumitkan namun Rodgers memuji cara pemain barunya menangani saingan getir Stoke.

“Pemain yang baru kami beli memiliki karakter,” ujar Rodgers.

“Lihat saja Benteke di serangan, orang bercakap mengenainya sebagai seorang pemain yang hanya boleh menyambut hantaran bola tinggi tapi anda lihat kualitinya hari ini, pendekatannya terhadap permainan, gerakan, kekuatan, tenaga dan keupayaannya di udara.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 8:04 AM