MAHFIDZ bersama kakitangan Pos Malaysia meletakkan ranting karang tanduk rusa di tapak semaian untuk ditempatkan di Pulau Besar.
MAHFIDZ bersama kakitangan Pos Malaysia meletakkan ranting karang tanduk rusa di tapak semaian untuk ditempatkan di Pulau Besar.
Mohd Sah Muda


Lebih 50 kakitangan Pos Malaysia Berhad menyertai program Marine CSR di Pulau Besar dan Pulau Mensirip di perairan Mersing, Johor, baru-baru ini.

Program dua hari dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Taman Negara Johor itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat Pos Malaysia untuk mendekati penduduk di kawasan Taman Laut Sultan Iskandar Johor.

Pengurus Pos Malaysia Johor, Mahfidz Omar berkata, program bertujuan mendidik masyarakat kepentingan menjaga dan membina kerangka bagi membolehkan batu karang hidup dan membiak di kawasan berkenaan.

Menurutnya, turut diletakkan Peti Pos Diraja di dasar laut Pulau Mensirip dan mewujudkan tapak semaian batu karang di Pulau Besar.

“Di kawasan Pulau Besar berhampiran jeti, sebanyak 13 unit tapak semaian batu karang dengan setiap unit mengandungi 48 ranting karang tanduk rusa ditempatkan.

“Ranting karang ini boleh membiak sehingga 15 sentimeter dalam tempoh 20 bulan,” katanya.

Kawasan Pulau Mensirip pula bakal ditempatkan 42 unit kerangka seumpama itu bagi menjadikan kawasan berkenaan taman terumbu karang terbesar di Taman Laut Sultan Iskandar Johor.

Katanya, program itu memberi nilai tambah kepada dua pulau berkenaan yang akan menjadi destinasi penyelam terkenal di dunia tidak lama lagi.

Beliau berharap program itu dapat menarik lebih ramai pelancong dari luar dan dalam negara berkunjung ke pulau berkenaan dalam tempoh terdekat.

Ketua Kampung Busong, Pulau Besar, Abdul Razak Md Zain terharu dengan sumbangan Pos Malaysia bagi menarik pelancong ke pulau itu.

“Program ini dapat membuka ruang kepada syarikat korporat lain mempromosikan Pulau Besar sebagai syurga penyelam dasar laut yang unik pada masa depan.

“Sebuah syarikat swasta akan mempromosikan lawatan ke Pulau Besar dan pulau berhampiran tidak lama lagi dengan pakej menarik termasuk penginapan, makan dan minum serta aktiviti menyelam.

“Saya berharap penduduk pulau sama-sama membabitkan diri bagi menambah pendapatan sampingan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 9:21 AM