PODYFRED memungut surat di Laban Rata setiap hari bermula jam 12 tengah hari.
PODYFRED memungut surat di Laban Rata setiap hari bermula jam 12 tengah hari.
PETI pos tertinggi di Gunung Kinabalu dirasmikan Jailani, baru-baru ini.
PETI pos tertinggi di Gunung Kinabalu dirasmikan Jailani, baru-baru ini.
PETI surat ke-3110 milik Pos Malaysia dicatatkan dalam MBOR.
PETI surat ke-3110 milik Pos Malaysia dicatatkan dalam MBOR.
Oleh Mohd Razlan Salleh


Aktiviti mendaki gunung adalah satu daripada hobi menyeronokkan, apatah lagi kegembiraan itu dapat dikongsi bersama orang tersayang yang berada jauh di mata.

Selain kepesatan teknologi maya, kiriman surat atau poskad juga adalah satu daripada medium perhubungan yang pernah menjadi kegilaan individu di perantauan satu ketika dulu.

Perasaan menerima poskad yang mencatatkan ketinggian 3,289 meter di aras laut memang sesuatu perkara mengujakan sesiapa sahaja.

Atas dasar itu, Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) membina peti pos pada altitud tertinggi di Malaysia sehing­ga berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Namun, tugasan memungut dan menyerahkan poskad di peti pos itu bukan satu tugas mudah, tambahan pula individu bertanggungjawab perlu melakukannya setiap hari supaya penerima memperoleh ‘amanah’ yang dihantar dengan segera.

Bagi Podyfred Kaingan, 35, tugas sebagai pemungut surat yang terletak di Pendant Hut, Laban Rata adalah satu penghargaan terbesar terhadap dirinya.

“Saya mendaki puncak Gunung Kinabalu ini sejak berusia sembilan tahun selain pernah bergelar porter (pengangkat barang).

“Dari sekecil-kecil barang sehingga yang seberat 30 kilogram, semuanya perlu dipikul sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pengurus Operasi Mountain Torq Sdn Bhd (Mountain Torq) itu mengakui tugas barunya memang mencabar berikutan terpaksa meredah cuaca dingin dan tahap oksigen yang rendah.

“Selepas bergelar posmen di altitud tinggi, rutin harian saya bermula jam 12 tengah hari dengan memungut surat atau poskad dalam peti surat itu.

“Seawal pagi keesokan harinya, saya akan turun ke Timpohon Gate yang mengambil masa perjalanan satu jam untuk menyerahkan segala isi kandungan peti surat itu kepada Pos Malaysia,” katanya.

Menurut anak jati Kalawayan itu, surat atau poskad akan diambil setiap hari supaya tiada kelewatan untuk dihantar kepada penerima.

“Walaupun ini adalah cabaran baru, saya seronok melakukan tugas ini dan tiada masalah menepati masa kerana Gunung Kinabalu ialah ‘taman permainan’ saya.

“Perjalanan biasa antara Pendant Hut ke Pondok Timpohon mengambil masa empat hingga lima jam, tetapi saya mampu melakukannya dalam tempoh satu jam,” katanya.

Podyfred berkata, dianggarkan lebih 200 surat dan poskad diposkan menerusi peti pos berkenaan seminggu.

“Surat dan poskad dari peti pos ini akan dihantar ke Pejabat Pos Ranau dan dicop dengan dakwat khas memaparkan lukisan Gunung Kinabalu serta aras ketinggiannya.

“Sekiranya sambutan semakin menggalakkan, tidak mustahil pihaknya akan melantik staf khas untuk menjalankan tugas memungut surat dan poskad ini,” katanya.

Terdahulu, perasmian peti pos tertinggi di negara ini disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari pada 8 Februari lalu.

Bagi pengunjung yang singgah di gunung yang tertinggi di Asia Tenggara itu, pastinya akan merakamkan kenangan indah mendaki gunung di sana dengan menggunakan kamera.

Namun, menghantar poskad dan surat dari tempat yang memiliki ketinggian 3,289 meter di atas laut sememangnya satu kenangan unik yang dapat dikongsi bersama keluarga dan rakan menerusi kiriman poskad dengan cap pos khas dan logo MBOR selain disimpan untuk kenangan peribadi.

Peti pos itu akan menjadi antara tarikan baharu untuk pelancong selain dapat terus mempromosi Gunung Kinabalu dalam bentuk poskad atau cop pos khas.

Poskad atau cop pos yang disediakan boleh dijadikan sebagai bahan koleksi terutama oleh penggemar filateli.

Cap dakwat khas yang memaparkan lukisan Gunung Kinabalu dan aras ketinggiannya boleh diperoleh di Pejabat Pos Ranau sebagai cap pembatalan setem pengeposan.

Peti surat ke 3,110 milik Pos Malaysia itu berjaya dicatatkan dalam MBOR berikutan lokasinya yang tinggi dan kewujudannya secara tidak langsung menjadikan Gunung Kinabalu sebaris dengan Gunung Fuji, Jepun dan Gunung Jungfrau di Pergunungan Swiss, Switzerland yang turut memiliki perkhidmatan peti surat di kedudukan altitud tertinggi.

Peti surat itu pastinya menjadi tarikan baru untuk pelancong apabila mereka boleh memperingati pendakian bersejarah dengan menghantar surat atau poskad pada ketinggian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 12:44 PM