IMRAN Ajmain antara artis yang turut menggayakan koleksi hasil sentuhan Bakri.
IMRAN Ajmain antara artis yang turut menggayakan koleksi hasil sentuhan Bakri.
Teks dan gambar Nadzreen Shah Mat Salim

Pada zaman serba moden ini, pelbagai jenis reka bentuk pakaian terhasil dengan begitu menarik, elegan dan sesuai dengan si pemakainya.

Namun, sejauh mana pun kemodenan, pakaian tradisional yang ‘evergreen’ tetap mendapat tempat dalam kalangan pengguna apatah lagi pada musim perayaan.

Baju Melayu Teluk Belanga digunakan lelaki dan perempuan sejak 100 tahun dulu.

Ia diberi nama sedemikian oleh Sultan Johor, Almarhum Sultan Abu Bakar sempena baginda bersemayam di Teluk Belanga.

Justeru itu, sehingga hari ini baju berkenaan turut dikenali Baju Johor atau Baju Kurung Teluk Belanga.

Bagi Bakri Othman, 60, dia sentiasa sibuk menerima tempahan orang ramai di kedainya di Taman Samudera, Batu Caves, Selangor setiap kali musim perayaan.

Dikelilingi kotak berisi baju Melayu dan baju kurung yang memenuhi bahagian hadapan dan belakang kedai, Bakri tekun menyiapkan baju Melayu Teluk Belanga yang dipesan pelanggan.

Bakri yang mempunyai diploma mencorak dan memotong pada British Tailoring, United Kingdom mampu berbangga memandangkan dia antara beberapa pembuat baju Melayu Teluk Belanga yang dikenali di Lembah Klang.

Katanya, cara pembuatan baju Melayu Teluk Belanga ini memerlukan kesabaran yang tinggi.

“Kaedah menyambung pesak, kekek dan lengan baju menggunakan mesin jahit dan ia dikelim sebelum dijahit sembat dengan tangan.

“Tepi lengan dan kaki baju dilipat dan dijahit sembat juga dilakukan secara manual manakala leher Baju Kurung Teluk Belanga dibuat bulat seperti bulan (dipanggil bulan-bulan) dan dibelah menurun di bahagian depan.

“Tepi lubang leher dijahit menggunakan sulaman halus yang dinamakan ‘tulang belut’. Leher baju dibuat demikian untuk menguatkan jahitan agar tidak mudah koyak dan kelihatan lebih menarik.

“Leher baju dikenakan sebutir kancing berlengkang dan ia biasanya berbentuk bulat dan diperbuat dari emas atau perak dan bertatahkan permata.

“Bahagian sebelah kiri baju iaitu di pinggang atau rusuk baju disediakan poket kecil,” katanya.

Menurutnya, baju kurung ini dipakai dengan kain sarung yang diikat berombak-ombak di rusuk sebelah kiri atau kanan, dikenali ‘ombak mengalun’.

“Cara memakai baju juga berbeza kerana bagi baju Melayu Teluk Belanga, samping dipakai di luar baju,” katanya.

Dia turut mendapat tempahan golongan artis, antaranya Lisa Surihani, kumpulan rock Lefthanded dan Awie.

Jika dulu Bakri dan isterinya Rosita Shahar 50, mengusahakan perniagaan ini, kini ia diambil alih anak perempuannya.

“Kebetulan anak perempuan saya belajar bidang fesyen, jadi ringan beban sikit.

“Namun, saya bimbang seni membuat baju Teluk Belanga di negara ini akan pupus jika tiada usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang itu,” katanya.

Katanya, harga ditawarkan di antara RM199 sehingga RM3,000 berdasarkan fabrik dan kualiti.

“Elemen klasik moden baju Melayu kami dapat dilihat menerusi jahitan yang mengikut susuk tubuh supaya lelaki kelihatan sasa dan ranggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 3:18 PM