MOHAMMAD Affan dan Raja Nur Alya bersama kucing yang dipakaikan busana tradisional.
MOHAMMAD Affan dan Raja Nur Alya bersama kucing yang dipakaikan busana tradisional.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketika ahli keluarga lain sibuk membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri dengan membeli pakaian baharu, 'si anak bulus' pastinya juga tidak mahu ketinggalan untuk bergaya dengan baju kurung atau baju Melayu, bersampin dan bersongkok pada pagi lebaran nanti.

Tentu mencuit hati jika pakaian itu dapat dipakai sedondon dengan seisi keluarga, sekali gus memeriahkan lagi suasana sesi bergambar pada pagi raya.

Bagi pengasas barangan aksesori dan makanan kucing Meowkushop Mohammad Affan Aizat Anuar, 32, berkata, idea membuat pakaian raya untuk si manja itu tercetus lima tahun lalu ketika sesi bergambar bersama keluarga dengan kucing kesayangan Koko pada hari raya.

"Pada masa itu, kami sekeluarga berpakaian sedondon dan hanya kucing kami saja yang 'lari tema', pada masa itulah timbul idea untuk menjahit pakaian sedondon untuknya bagi merakamkan foto keluarga yang lebih seragam dan sempurna," katanya.

Bermula detik itu, Mohammad Affan Aizat yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal mula mereka satu demi satu baju untuk si bulus dengan berkonsepkan tradional Melayu untuk dijual secara dalam talian, tanpa mengkompromikan soal keselesaan haiwan kesayangan ini.

"Ia bukan untuk menyeksa haiwan kerana itu kami akan pastikan setiap rekaan dan material digunakan, kucing selesa memakainya dan pemilihan dibuat menerusi beberapa percubaan ke atas kucing peliharaan kami terlebih dahulu.

"Lazimnya, pakaian ini hanya dipakaikan sekejap sahaja, tidak sampai kucing rimas dan aksesori pun maksimum dipakai tiga jam sahaja," katanya sambil merujuk kepada Brownies, Koko Jr, Mox dan Zizi, kucing peliharaan yang juga model utama syarikatnya.

PELBAGAI jenis pakaian yang dijual di Meowkushop.
PELBAGAI jenis pakaian yang dijual di Meowkushop.

Sehingga kini, ada sebanyak 10 rekaan baju ditawarkan menerusi platform Meowkushop antaranya baju Melayu teluk belanga, baju Melayu cekak musang, kurta, baju batik, baju kurung, kebaya serta kurung kedah.

Turut dijual aksesori seperti songkok, samping pelekat, tanjak dan riben yang dijual dengan harga dari RM5 hingga RM65 setiap satu.

Sementara itu, pengasas bersama Meowkushop Raja Nur Alya Raja Abd Aziz pula berkata, pakaian dijual menggunakan fabrik berkualiti tinggi iaitu daripada jenis pearl skin dan songket pelbagai warna, manakala songkok pula dibuat daripada baldu dan kapas.

Raja Nur Alya berkata, ia dijahit oleh lima tukang jahit berpengalaman dengan diselia ibu kepada Mohammad Affan Aizat sendiri kerana penghasilannya memerlukan ketelitian untuk menjahit pakaian bersaiz kecil dengan ukur lilit antara 28 hingga 62 sentimeter.

Pakaian siap ditawarkan daripada saiz S hingga XL namun pemilik kucing tertentu boleh melakukan tempahan khas jika saiz yang ditawarkan tidak sepadan.

Bagi memudahkan dan sebagai panduan pelanggan, mereka menyediakan carta ukuran dada, perut, leher, berat dan rajah untuk mengelak baju yang ditempah sendat ataupun besar.

"Untuk ukuran dada dan perut biasanya menggunakan pelepasan satu jari dan untuk mendapatkan saiz yang lebih tepat, inci digunakan sebagai unit ukuran," katanya.

Menurutnya, pada musim hari raya ini permintaan untuk baju raya kucing bertambah sehingga 2,500 pasang dan ia terus meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 6:45 AM