Tripoli: Mahkamah Libya menjatuhkan hukuman mati terhadap anak lelaki bekas Presiden Libya Muammar Ghaddafi serta lapan pembantunya kerana jenayah perang termasuk membunuh penunjuk perasaan ketika revolusi 2011 yang menamatkan pemerintahan bapanya.

Ketua penyiasat pejabat pendakwa raya Tripoli Sadiq al-Sur berkata hari ini, mereka dijatuhkan hukuman mati oleh skuad penembak, termasuk bekas ketua agensi perisikan Abdullah al-Senussi dan bekas perdana menteri Baghdadi al-Mahmoudi.

Saif al-Islam (anak Ghadafi) tiada dalam mahkamah kerana sedang ditahan di wilayah Zintan oleh militan yang menentang kerajaan Libya sekarang sejak 2011. Saif muncul melalui sidang video pada permulaan perbicaraan. Kumpulan pemberontak itu enggan menyerahkannya dengan alasan tidak yakin dengan kerajaan sekarang untuk memastikan Saif tidak melepaskan diri.

Bagaimanapun, Abdullah dan Baghdadi berada dalam kandang tertuduh dan mereka boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Agung.

Muammar Ghaddafi dibunuh pemberontak yang berjaya menangkapnya selepas berbulan-bulan melarikan diri.

Sadiq tidak menyatakan tuduhan yang menyebabkan hukuman mati itu tetapi mereka menghadapi pelbagai tuduhan termasuk menggunakan kekerasan membawa maut terhadap penunjuk perasaan serta rasuah.

Saif juga dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan. Tiga anak Muammar Ghaddafi terbunuh ketika revolusi 2011 dan seorang lagi anaknya, Saadi, diekstradisi ke Libya dari Niger pada Mac 2014. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 8:49 PM