Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: “Tidak perlu tergesa-gesa, biar ahli majlis FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kaji dulu. Jika benar polisi mengambil pemain luar ini dipersetujui, mungkin ia boleh dilaksanakan tahun depan,” kata Timbalan Presiden badan induk kebangsaan itu, Datuk Mokhtar Ahmad.

Beliau berkata, apa saja langkah yang mahu diambil perlu dinilai dengan mengambil semua pandangan bagi memastikan tidak timbul isu berbangkit selepas itu.

“Cadangan itu mungkin baik tapi harus difikirkan dulu sama ada ia melanggar peraturan atau tidak kerana pemain luar ini ada dua. Satu, pemain yang mempunyai pertalian darah dengan negara ini dan satu lagi tidak ada sebarang pertalian.

“Kita juga perlu ambil tahu pandangan orang luar sebelum membuat keputusan,” katanya.

Isu pengambilan pemain naturalisasi bagi mewakili skuad Harimau Malaya kembali dibangkitkan selepas jurulatih Dollah Salleh menyuarakan keterbukaannya untuk menggunakan pemain import dalam pasukannya.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin juga sebelum ini tidak menolak cadangan mengambil pemain naturalisasi itu namun menegaskan keputusan itu bergantung kepada kerajaan untuk memberikan kerakyatan kepada pemain luar.

Arena Metro semalam melaporkan keinginan pemain pertahanan tengah Terengganu Vincent Bikana, 23, dari Cameroon untuk menukar kerakyatan bagi mewakili skuad kebangsaan.

Bikana turut beraksi dalam skuad Pilihan Malaysia menentang Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil Jumaat lalu.

Mokhtar yang ditanya mengenai perkara itu berkata, beliau menghargai mana-mana pemain luar yang berminat untuk berkhidmat dengan pasukan negara namun FAM perlu berbincang dulu dengan dasar baru itu.

“Baguslah kalau ada pemain luar yang berminat tapi biarlah kita bincang pasal dasar itu dulu,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:21 AM