AKSI Nur Fatihah dan Puteri Zharifah melakukan tendangan layang ketika sesi latihan di Teluk Senangin.
AKSI Nur Fatihah dan Puteri Zharifah melakukan tendangan layang ketika sesi latihan di Teluk Senangin.
Nurul Husna Mahmud


Rutin ekstrem 'tricking' memerlukan individu bukan sahaja semangat kental dan berani, malah perlu komited dalam menguasai teknik seni gabungan antara cabang pertahanan diri, tae kwan do serta akrobatik.

Bagi penggiat dalam kalangan kaum hawa, sukan ini dibayangi imej wanita lebih 'maskulin' kerana aksi yang lasak perlu dikuasai mereka.

Melihat karakter 'tersipu-sipu' Puteri Zharifah Shah Nazira Kamarulzaman, baru difahami bahawa gadis yang menyertai aktiviti ini hanya 'garang' ketika mempersembahkan aksi 'tricking'.

Kata gadis berusia 15 tahun itu, pembabitan dia dilentur orang tuanya, Sherry Shahrezad Samri, 42, dan Kamarulzaman Salim, 40, yang juga pengasas Malaysia Xtreme Taekwon-Do Martial Arts (MXTMA) kini berpusat di Setiawan, Perak.

"Saya sudah terdedah dengan 'tricking' sejak usia lima tahun yang mana dilatih menguasai teknik akrobatik selain tae kwan do dalam memastikan rutin 'tricking' sukar dapat dicapai.

"Asas penting adalah tendangan layang dan sebenarnya kalau sudah ada penguasaan tae kwan do, untuk beralih ke 'tricking' tidak sukar.

"Kebanyakan nama besar dalam disiplin tae kwan do ekstrem ini mereka yang sudah di peringkat tali pinggang hitam. Selain itu, kalau ada kemahiran akrobatik terutama pernah menceburi sukan seperti gimnastik dan parkour itu lebih mudah.

"Sama juga penari 'break dance' yang ada koreografi tari rumit, golongan ini ada kelebihan dalam mempelajari 'tricking' kerana setiap rutin ada gerakan kombinasi tae kwan do dan lain-lain disiplin," katanya.

Puteri Zharifah yang ditemui ketika sesi latihan di Teluk Senangin, Lumut, Perak, baru-baru ini mengakui tidak ramai rakannya tahu atau mengenali seni 'tricking' dalam disiplin mempertahankan diri.

"Rakan saya hanya pernah nampak persembahan 'tricking' di kaca televisyen atau dalam rancangan realiti kerana ia berkembang sangat baik di Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

"Rata-rata rakan hanya berminat untuk lihat dan tonton aksi, tetapi tidak sampai tahap untuk ceburi," katanya.

Selaku penggiat 'tricking' perempuan, dia berharap lebih ramai dapat sertai dan memeriahkan sukan terbabit.

"Saya mengambil masa bertahun untuk kuasai 'trick' sukar seperti teknik lompatan belakang (back-flip), 'gainer', 'butterfly twist' dan banyak lagi.

"Atlet 'tricking' juga perlu komited menjaga pemakanan, banyakkan latihan dan fokus pada latihan. Prestasi boleh terjejas walaupun sehari tidak berlatih," katanya.

Seorang lagi penggiat, Nur Fatihah Badrisah, 19, mengakui minat mendalam melangkaui rasa takut dengan risiko kecederaan ketika latihan.

"Sudah namanya ekstrem dan untuk menguasai satu kemahiran atau rutin juga sukar. Tetapi, tidak bermakna tidak boleh dipelajari asalkan ada minat dan kemahuan.

"Saya sendiri baru sahaja mempelajari 'tricking' kira-kira tiga bulan lalu dan mengakui ia lebih sukar berbanding latihan tae kwan do pernah saya sertai. Kemahiran lebih beraras tinggi (advance) berdasarkan kesukaran rutin tertentu.

"Kena banyak latihan dan memperkemaskan setiap kemahiran sebelum lebih banyak rutin dapat dikuasai," katanya.

Menyentuh sukan ini ganas dan bertentangan dengan naluri wanita yang lembut dan sopan santun, kata Nur Fatihah, dia melihat sukan itu dari sudut positif.

"Pada saya ciri-ciri 'ekstrem' itu kelihatan 'cool' pada mata saya dan kalau dinilai koreografer atau teknik gerakan, ada persamaan dengan tarian.

"Sebenarnya seni ini bukan bertindak ganas, tetapi kepada taktikal mengaburi pihak lawan atau mengelak daripada ancaman. Mengapa pula wanita tidak boleh pelajari untuk kebaikan?" persoal gadis itu.

Sementara itu, Sherry Shahrezad yang juga perintis seni 'tricking' di Malaysia berharap sukan itu menarik lebih ramai penyertaan golongan muda termasuk wakil wanita.

"Sukan ini sangat berkembang di luar negara dan mempunyai pengaruh besar di luar negara. Potensi untuk Malaysia pergi sejauh ke pentas dunia boleh direalisasikan berdasarkan pengamatan saya bersama Hyper Martial Arts Amerika Syarikat.

"Komitmen pelajar sangat penting terutama dalam kalangan wanita kerana terdapat skeptikal mengenai masa depan sukan terbabit sebagai profesion atau berkecimpung sebagai profesional terutama merancang untuk berkeluarga.

"Setakat ini saya masih dalam proses mencari lebih ramai bakat dalam 'tricking'. Sukan ini juga memerlukan tempoh matang yang panjang dan siri latihan akrobatik secara intensif," katanya.

Tahun ini pihaknya giatkan usaha memperkenalkan sukan 'tricking' menerusi kolaborasi bersama Kementerian Belia dan Sukan selain bekerjasama rapat dengan Kerajaan Perak dan Tourism Negeri Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 7:01 AM