Nasrawati Syarifuddin


LEBIH 30 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas lima rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Sri Menantu, Tawau, pagi hari ini.

Dalam kejadian 10.40 pagi itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke rumah lain kerana kedudukan rumah yang rapat.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas semua penghuni sempat menyelamat diri.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Ismaidi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.49 dan seramai 37 anggota bomba bersama tiga jentera ke lokasi kebakaran.

"Ketika operasi memadam api dijalankan, kita terpaksa merobohkan sebuah rumah bagi mengelak api daripada merebak ke rumah lain.

"Api berjaya dikawal pada 11.39 pagi dan didapati lima rumah musnah terbakar. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, penduduk kampung turut bersama-sama membantu pasukan bomba memadamkan kebakaran secara sukarela.

"Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 4:19 PM
KEBAKARAN membabitkan lima buah rumah di Kampung Sri Menanti, Tawau. FOTO Nasrawati Syarifuddin
KEBAKARAN membabitkan lima buah rumah di Kampung Sri Menanti, Tawau. FOTO Nasrawati Syarifuddin