AJAI, Amelina, Shiha dan Fahmie punya perancangan besar dengan kerjaya masing-masing.
AJAI, Amelina, Shiha dan Fahmie punya perancangan besar dengan kerjaya masing-masing.
Oleh Georgie Joseph dan Sudirman Mohd Tahir


Suasana Aidilfitri walau di mana jua tentu saja memberikan ketenangan dan kebahagiaan apatah lagi disambut bersama keluarga tersayang.

Tidak ada yang membezakan beraya sebagai orang bujang atau sudah berkahwin.

Makna Aidilfitri itu tetap sama, cuma cara ia diraikan menjadikan suasana itu tampak berlainan.

Bagi artis naungan syarikat rakaman Wake The Baby, Ajai, Amelina, Shiha dan Fahmi Esmail masing-masing teruja meraikan kedatangan Syawal baru-baru ini.

Ajai dan Amelina meriah bersama anak-anak manakala Shiha dan Fahmi setia di sisi keluarga tercinta.

Ajai sibuk urus restoran lepas raya

Setiap kali Aidilfitri, Ajai bertuah kerana dapat meraikannya dengan kedua-dua cahaya matanya Ayu Nazirah, 17, dan Danisha, 5.

Di samping itu, isteri tercinta Liza juga banyak membantu dari segi persiapan raya mereka sekeluarga.

“Sebelum mula berpuasa lagi saya sibuk menguruskan perniagaan baru dalam bidang makanan. Jadi sepanjang Ramadan lalu, saya berulang-alik menguruskan restoran pertama saya Restoran Asam Pedas Hirup di Ivory Tower, Bukit Gambir, Pulau Pinang. Insya-Allah, ia akan mula beroperasi secara rasmi Ogos ini,” katanya.

Sudah menjadi tradisi buat Ajai, setiap tahun dia dan isteri bergilir pulang ke kampung.

Pada hari raya pertama lalu dia beraya di kampungnya di Muar, Johor sebelum ke rumah mentuanya di Pulau Pinang, Isnin lalu.

“Ini tahun kedua saya sekeluarga beraya tanpa ayah. Tanggal 2 Julai lalu genap dua tahun pemergiannya. Memandangkan mak masih di Muar, jadi saya dan adik-beradik lain berkumpul di rumah mak,” katanya.

Ajai berkata, dalam waktu terdekat ini dia akan terus berada di Pulau Pinang menguruskan perniagaan restoran berkenaan manakala Liza dan anak mereka pulang ke Kuala Lumpur menguruskan operasi Wake The Baby.

“Mesti ada tertanya-tanya adakah saya sudah berhenti mencipta lagu dan menyanyi? Tidak, itu masih minat dan kerjaya nombor satu saya. Perniagaan makanan ini cinta kedua saya terhadap bidang perniagaan,” katanya.

Berkongsi sambutan Aidilfitri lalu di kampung halamannya, Ajai berkata, rumah ibunya menjadi tumpuan sanak-saudara datang berhari raya.

“Memandangkan mak anak sulung, rumah kami dikunjungi saudara-mara lain,” katanya.

Amelina kembali beraya sebagai artis

Amelina, 40, kembali teruja meraikan Aidilfitri sebagai artis selepas 15 tahun menyepi daripada bidang nyanyian.

“Selama tidak aktif me­nyanyi, saya cuma menyambut hari raya sebagai orang biasa. Aidilfitri kali ni saya berasakan kembali kemeriahan beraya bersama keluarga, sanak- saudara dan peminat tercinta.

“Lebih seronok saya dapat melihat anak beraya di kampung sendiri di Seremban, Negeri Sembilan. Sudah pasti mereka akan rasa berbeza dan sedikit terkejut melihat tetamu datang dari segenap tempat yang tidak dikenali dan tidak seperti sebelumnya,” katanya.

Bercerita mengenai nostalgia Aidilfitri, Amelina berkata, tidak ada yang lebih meriah selain dapat beraya bersama ibu bapa.

“Semasa arwah abah hidup, dia paling bersungguh-sungguh, tapi itu semua tinggal kenangan. Saya kadang-kadang terasa seperti sangat kehilangannya setiap kali Aidilfitri,” katanya.

Aidilfitri lalu juga menyaksikan Amelina buat pertama kali meng­gantikan ibunya yang selama ini menjadi tukang masak tetap setiap kali hari Aidilfitri.

“Bab juadah raya, semua saya ‘balun’ bak kata orang Negeri Sembilan. Semua saya suka dan tidak cerewet. Tahun ini, saya mak sudah beritahu awal, dia mahu berehat daripada memasak. Jadi, saya perlu ambil alih tugasnya,” katanya.

Amelina juga rindukan saat menyambut Aidilfitri ketika zaman kanak-kanak dan remaja.

“Apabila sudah ada anak, saya lebih suka bergembira melihat orang lain pun gembira. Setiap kali tengok anak teruja sambut raya, saya pasti teringat zaman kanak-kanak,” katanya.

Shiha harap single baru menjadi

Bagi penyanyi muda ini, ternyata kesibukannya sudah bermula sejak Ramadan lalu.

Perniagaan kuih makmur yang dia usahakan bersama ibunya mendapat sambutan hangat.

Itulah kemanisan yang mengiringi penantian Shiha sementara menyambut kemeriahan 1 Syawal lalu.

Bahkan, dia yang mengambil keputusan beraya di Kuala Lumpur tahun ini kembali bekerja serta-merta pada hari raya pertama lalu.

“Seminggu sebelum Ramadan lalu, saya dan ibu sudah sibuk di dapur menyiapkan kuih makmur yang ditempah,” kata­nya yang meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur saja kerana bapanya tidak sihat.

Malah, Shiha juga sudah terikat dengan persembahan sejak hari raya pertama lalu.

Berkongsi mengenai karier seninya, Shiha yang turut mengacarakan program sukan Kaki Bola sudah mula bekerja hari ini.

“Rakaman akan dimulakan dalam sehari dua ini biarpun tayangannya hanya bermula bulan depan. Seronok mengacarakan program itu dan saya tidak perlu ulas sebagai pakar bola sepak, tetapi lebih kepada sudut pandangan wanita mengenai bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, Shiha juga teruja dengan single barunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Memang merancang untuk melancarkannya selepas Aidilfitri, bekas peserta program Mentor itu sangat berharap single kali ini menjadi selepas single sebelum ini kurang menjadi.

“Saya memang menaruh harapan tinggi terhadap single berjudul Seperti Novel Cinta ciptaan Ajai ini. Ia sangat kena dengan jiwa saya,” katanya.

Fahmie tak sabar rakam video muzik

Makin jelas hala tuju karier nyanyiannya, Fahmi pula seronok dapat menyambut Aidilfitri pertama kali sebagai artis tahun ini.

Paling istimewa, jadualnya sewaktu Ramadan lalu juga sentiasa terisi membuktikan penyanyi itu ternyata dikenali.

Penyanyi kelahiran program realiti Mentor Legend ini berkata, pada hari raya pertama lalu dia menyambutnya di rumah keluarga di Shah Alam sebelum ke kampung bapanya di Negeri Sembilan pada hari raya kedua.

Melancarkan single berjudul Halang sebelum Ramadan lalu, pembikinan klip video lagu berkenaan akan menyusul pula tidak lama lagi.

Meskipun lagu terbabit masih belum benar-benar meledak, Fahmi gembira apabila sambutannya semakin memberangsangkan.

“Saya positif dengan percaturan melancarkan single itu walaupun dibuat sebelum Ramadan. Namun, saya akur putarannya di radio masih perlahan.

“Apapun, saya tidak sabar menghabiskan penggambaran klip video sulung saya itu. Sebolehnya, klip video itu kena siapkan secepat mungkin sebagai kesinambungan single berkenaan,” kata­nya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 12:37 PM