MANGSA maut terkena renjatan elektrik di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas, Tawau. FOTO ihsan bomba
MANGSA maut terkena renjatan elektrik di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas, Tawau. FOTO ihsan bomba
Oleh Norasikin Daineh


Tawau: Lelaki kurang siuman maut selepas terkena renjatan elektrik di bawah rumahnya di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa Mohd Aris Deleon, 34, maut serta merta di tempat kejadian akibat renjatan elektrik ketika memungut tin di bawah rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Mohd Razali Awang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.26 petang dan sepasukan anggota bomba dikejar ke lokasi kejadian.

"Pihak bomba menerima laporan bahawa terdapat mangsa terbaring di bawah rumah dipercayai terkena renjatan elektrik.

"Tindakan segera diambil bagi memastikan tiada arus elektrik sebelum mengeluarkan mangsa bagaimanapun mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Razali berkata, menurut ahli keluarga, mangsa kurang siuman dan menjadi kebiasaannya memungut tin di bawah rumah mereka.

Katanya lagi, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 11:32 PM