SEBAHAGIAN atlet pada majlis penutup KARiSMA UiTM Malaysia di Kampus UiTM Melaka, baru-baru ini.
SEBAHAGIAN atlet pada majlis penutup KARiSMA UiTM Malaysia di Kampus UiTM Melaka, baru-baru ini.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor muncul juara Karnival Sukan Mahasiswa (KARiSMA) UiTM Malaysia selama tujuh hari di Kampus UiTM Melaka di Lendu, Alor Gajah, baru-baru ini.

Puncak Alam meraih 29 emas, 22 perak dan 14 gangsa diikuti naib juara kontinjen Shah Alam dengan 20 emas, 19 perak dan 29 gangsa manakala tempat ketiga milik Pahang dengan 9 emas, 5 perak dan 29 gangsa.

Karnival dianjurkan sejak 1990 itu membabitkan penyertaan kontinjen seluruh kampus UiTM yang sebelum ini dikenali Kejohanan Sukan Pelajar Institut Teknologi Mara atau SUPER INTEKMA turut menjadi pentas atlet pelapis kebangsaan beraksi.

Majlis penutup disempurnakan Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said.

Hadir sama, Rektor UiTM Melaka Profesor Madya Dr Mohd Adnan Hashim dan Pengarah Pusat Sukan UiTM Mustaza Ahmad.

Sementara itu, Mustaza berkata, objektif penganjuran KARiSMA bagi meningkatkan imej UiTM melalui pencapaian sukan selain memilih bakat baru bagi mewakili universiti itu ke kejohanan universiti tempatan dan antarabangsa.

Katanya, kejohanan itu juga menjadi pentas mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan atlet dan pegawai selain membentuk generasi sihat dan cergas.

“Sebanyak 20 acara sukan dipertandingkan termasuk bola sepak, bola baling, bola keranjang, badminton dan boling padang. Saingan lain termasuk futsal, hoki, pingpong, mountain bike, petanque, ragbi, tenis, golf, silat, taekwondo, tenpin bowling, catur dan sepak takraw.

“Kejohanan turut berlangsung di UiTM kampus Alor Gajah, Kompleks Rakan Muda Lendu, Kompleks Majlis Sukan Negeri, Ayer Keroh dan Kompleks Sukan Hang Jebat, Paya Rumput.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:03 AM