KONTINJEN UiTM meraih 19 pingat emas di Karnival Sukan Masum Fasa 1. FOTO UiTM
KONTINJEN UiTM meraih 19 pingat emas di Karnival Sukan Masum Fasa 1. FOTO UiTM
Mohd Amin Jalil


Nilai: Kontinjen Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuktikan kehebatan tersendiri apabila terus mengungguli Karnival Sukan Masum Fasa 1 2023 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan berakhir semalam.

Kontinjen itu meraih 19 pingat emas, 19 perak dan 16 gangsa, diikuti kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki tempat kedua dengan 14 emas, 10 perak dan 10 gangsa.

Tempat ketiga milik kontinjen Universiti Malaya (UM) dengan kutipan 11 emas, tiga perak dan lima gangsa.

Timbalan Presiden Masum, Ekmal Buhary, berkata seramai 2,000 atlet mewakili 20 universiti awam (UA) bersaing dalam karnival sukan tahunan itu.

Katanya, karnival selama tiga hari itu mempertandingkan lapan acara sukan iaitu bola keranjang, boling padang, bola tampar, bola baling, memanah, taekwondo, sofbol dan menembak serta menawarkan 59 pingat emas.

"Karnival ini tidak berakhir di sini, sebaliknya akan bersambung Fasa 2 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dari 23 hingga 30 Ogos ini.

"Kesemua atlet yang mewakili kontinjen masing-masing dilihat memberikan komitmen tinggi dalam setiap acara disertai sekali gus menunjukkan ramai bakat baharu dalam kalangan pelajar UA dari pelbagai jenis sukan.

"Karnival ini sangat berjaya dan yakin terdapat sebahagian atlet akan meneruskan cabaran masing-masing pada karnival fasa 2 di Melaka nanti," katanya di sini, hari ini.

Katanya, karnival Fasa 2 akan membabitkan lapan acara iaitu ragbi, bola jaring, hoki, petanque, catur, karate, silat dan basikal MTB.

UiTM adalah juara Sukan Masum 2018 dan 2019 sebelum karnival ini terhenti seketika akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 6:26 PM