FOTO Ihsan bomba.
FOTO Ihsan bomba.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang lelaki maut apabila kereta dinaikinya terbabas dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 28.7 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berhampiran plaza tol Setul dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa Mohamad Ambari Mustofa, 24, parah di kepala akibat terkena besi penghadang jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala rakannya yang memandu kereta Proton Persona itu, Syahran Mohd Shayuti, 24, cedera di muka dan tangan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, untuk menerima rawatan.

Pegawai operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Razak Abdul Rahman berkata, seramai enam anggota ke lokasi dan mendapati terdapat dua lelaki berada dalam kereta.

"Bagaimanapun, kepala Mohamad Ambari yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan terkena besi penghadang yang menembusi cermin hadapan hingga belakang kereta," katanya .

Menurutnya, mereka dalam perjalanan dari Kajang, Selangor ke Senawang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 11:32 AM