Pelajar sekolah menengah membawa sepanduk membantah perubahan pada buku teks sejarah.
Pelajar sekolah menengah membawa sepanduk membantah perubahan pada buku teks sejarah.

Taipei: Kira-kira 200 pelajar memprotes di luar kementerian pendidikan Taiwan semalam terhadap perubahan ‘China-centric’ (berhaluan China) di dalam kurikulum persekolahan.

Tahun lalu, kebimbangan terhadap pengaruh Beijing yang semakin meningkat di Taiwan menyebabkan bantahan dipimpin pelajar yang memecah masuk dan ‘menawan’ bangunan parlimen selama tiga minggu bagi menggagalkan usaha kerajaan yang mahu mengesahkan perjanjian perdagangan kontroversi dengan China.

Dalam protes terbaru semalam, beberapa penunjuk perasaan menghimpunkan buku teks sekolah di pintu pagar utama bangunan kementerian dan menjerit protes terhadap ‘pendidikan membasuh otak.’

Pelajar mendakwa perubahan kepada kurikulum sekolah menengah yang bakal diperkenalkan September depan menghakis kedaulatan negara itu selain diperkenalkan tanpa melakukan perbincangan sewajarnya terlebih dulu.

Ketua pelajar Chu Chen, 18, berkata: “Kami membantah sekeras-kerasnya kurikulum baru ini yang menyasarkan untuk mempengaruhi pelajar dengan pemikiran ‘China hebat.’ Ini tidak boleh diterima langsung.”

Taiwan berpisah dari China pada 1949 selepas perang saudara, tetapi Beijing masih menganggapnya sebahagian wilayah republik itu yang hanya menunggu masa untuk diambil semula - termasuk menggunakan paksaan jika perlu.

Hubungan dua negara itu semakin baik di bawah pemerintahan Presiden Ma Ying-jeou dari parti mesra Beijing, Kuomintang seterusnya membawa kepada beberapa perjanjian perdagangan yang turut menimbulkan rasa tidak senang rakyat.

Perubahan kurikulum dipertikaikan termasuk merujuk kepada Taiwan ‘dikembalikan kepada China’ dan bukan ‘diserahkan kepada China’ pada akhir pemerintahan Jepun pada 1945.

Tempoh pemerintahan 50 tahun Jepun juga dirujuk sebagai era ‘penaklukan Jepun’ menggantikan ‘pentadbiran Jepun’ digunakan sebelum ini.

Peserta bantahan Gina Wang, 17, berkata, perubahan itu menunjukkan kecenderungan terhadap ideologi China.

“Kami mahukan kurikulum yang berkecuali, meluas dan objektif,” katanya.

Protes kecil berlaku sejak beberapa minggu lalu berhubung perubahan berkenaan, tetapi semalam penunjuk perasaan berkata akan menyusun lilin dalam bentuk payung - simbolik gerakan prodemokrasi di Hong Kong - yang turut merujuk kepada kejahilan.

Kementerian berkata, sekolah akan diberi peluang memilih mengikut kurikulum lama atau baru. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:16 AM