JACKIE Chan.
JACKIE Chan.
Agensi

HONG KONG: Pelakon dan legenda seni mempertahankan diri, Jackie Chan mencetuskan kontroversi susulan kenyataannya yang memihak kepada Beijing mengenai protes antikerajaan di Hong Kong.

Pelakon berusia 65 tahun yang dilahirkan di wilayah separa autonomi itu mencetuskan kemarahan golongan prodemokrasi selepas secara terbuka berkata, dia ‘bangga menjadi rakyat China’ dan ‘berharap Hong Kong kembali aman secepat mungkin’ ketika temu bual dengan badan penyiar kebangsaan, CCTV.

“Saya melawat banyak negara dan perlu mengatakan negara kita membangun pesat sejak beberapa tahun lalu. Saya bangga menjadi rakyat China ke mana saja saya pergi dan ‘Bendera Merah Lima Bintang’ dihormati di seluruh dunia.

“Hong Kong dan China tanah tumpah air dan rumah saya. China negara saya, saya cintakan tanah air, cintakan tempat tinggal ini. Saya harap Hong Kong kembali aman secepat mungkin,” katanya dipetik SBS News.

News.com.au melaporkan, kenyataannya mencetuskan pelbagai reaksi di Twitter dengan pengguna media sosial yang berang menyelarnya ‘tak malu.’

Jackie Chan memang terbuka menunjukkan sokongan terhadap Beijing sebelum ini dan ini bukan kali pertama dia membuat kenyataan yang mencetuskan kontroversi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 10:33 PM