Orang ramai memegang kertas putih sebagai tanda protes terhadap dasar sifar-Covid yang terlalu ketat. - FOTO Reuters
Orang ramai memegang kertas putih sebagai tanda protes terhadap dasar sifar-Covid yang terlalu ketat. - FOTO Reuters
AFP

Shanghai: Beijing dan Shanghai hari ini dikawal pihak keselamatan susulan perhimpunan di seluruh China yang mendesak kebebasan politik dan menamatkan sekatan pergerakan Covid-19.

Kepimpinan negara berdepan protes hujung minggu yang tidak pernah dilihat sejak beberapa dekad, kerana kemarahan terhadap sekatan berterusan, mencetuskan kekecewaan secara keseluruhan terhadap sistem politik.

Kebakaran di Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang di barat laut China minggu lalu, menjadi pemangkin gelombang kemarahan, dengan penunjuk perasaan turun ke jalanan di bandar di seluruh negara.

Penunjuk perasaan berkata, sekatan pergerakan wajar dipersalahkan kerana menghalang usaha menyelamat, dengan dakwaan itu dinafikan kerajaan kerana menuduh 'kuasa dengan motif tersembunyi', mengaitkan kematian akibat kejadian itu dengan kawalan Covid-19 yang ketat.

Kemarahan ekoran sekatan pergerakan semakin meluas, mendesak seruan perubahan politik dengan penunjuk perasaan memegang helaian kertas kosong bagi melambangkan tapisan dikenakan China.

Lebih banyak protes dirancang malam tadi tetapi tidak dilaksanakan dengan wartawan AFP di Beijing dan Shanghai menyatakan kehadiran ramai polis, membabitkan ratusan kenderaan dan pegawai di jalanan.

Orang ramai yang menyertai demonstrasi hujung minggu memberitahu AFP semalam, mereka menerima panggilan daripada pegawai penguat kuasa undang-undang, menuntut maklumat pergerakan mereka.

Di Shanghai, berhampiran tapak di mana protes hujung minggu menyaksikan gesaan berani mendesak peletakan jawatan Presiden Xi Jinping, kakitangan bar memberitahu AFP bahawa mereka telah diarah tutup pada 10 malam untuk "kawalan penyakit".

Sekumpulan kecil pegawai dikerahkan ke pintu keluar metro berhampiran tapak protes.

Wartawan AFP melihat pegawai menahan empat orang sepanjang Isnin, melepaskan seorang kemudian, dengan seorang wartawan mengira 12 kereta polis dalam jarak 100 meter di sepanjang jalan Wulumuqi di Shanghai, pusat tumpuan perhimpunan pada Ahad.

Kekecewaan dengan polisi sifar-Covid kekal ketara.

"Dasar (sifar-Covid) sekarang -- ia terlalu ketat. Mereka membunuh lebih ramai orang daripada Covid," kata seorang pejalan kaki berusia 17 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Ray, memberitahu AFP.

Katanya, dia telah dikepung polis ketika melalui kawasan itu.

Seorang lelaki boleh didengari dalam rakaman audio yang dikongsi dengan AFP meminta alamatnya. Sebagai tindak balas, Ray menegaskan pegawai penguatkuasa undang-undang tidak "mempunyai hak" untuk menuntut maklumat peribadinya.

Beberapa perhimpunan telah diteruskan di tempat lain pada malam Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 5:37 PM