Kuala Lumpur: CIMB Thai Bank Public Co Ltd mencatatkan RM38.62 juta keuntungan bersih bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 30 Jun 2015, merosot 44.3 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

CIMB Group Holdings Bhd dalam kenyataan berkata, penurunan itu disebabkan kenaikan peruntukan tahun ke tahun sebanyak 138.5 peratus dalam keadaan persekitaran ekonomi lemah.

“Pinjaman tidak berbayar (NPL) kasar berjumlah 8 bilion Baht (RM887 juta) dan kami mengamalkan dasar pengurusan risiko serta standard taja jamin risiko kredit tinggi.

“Kami juga beri tumpuan kepada peningkatan produktiviti, memantau kutipan dan menguruskan semua akaun dengan teliti dan berkesan,” katanya.

Nisbah liputan kerugian pinjaman CIMB Thai Group turun kepada 94.3 peratus pada 30 Jun 2015, daripada 95.2 peratus pada akhir Disember 2014.

Pada 30 Jun 2015, jumlah peruntukan sebanyak RM820 juta menunjukkan lebihan RM277 juta berbanding keperluan rizab Bank of Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 6:11 AM