Paul Wong Chee Kin
Paul Wong Chee Kin
Bisnes HM

Kuala Lumpur: CIMB Group (CIMB) melantik Paul Wong Chee Kin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Thai berkuatkuasa 1 Februari 2021.

CIMB berkata, perlantikan itu bagi menggantikan Sutee Losoponkul yang dilantik sebagai Penasihat kepada Presiden CEO sehingga 31 Disember 2021.

Sutee sebelum ini adalah Pemangku Presiden dan CEO CIMB Thai sejak September 2020.

Kedua-dua pelantikan itu sudah mendapat kelulusan dari bank pusat negara itu, Bank of Thailand.

"Paul ketika ini masih Ketua Pegawai Operasi Kumpulan CIMB yang bertanggungjawab mengawasi aktiviti pembayaran dan digitalisasi serta strategi kumpuan.

"Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dalam perbankan dan kewangan di ASEAN. Paul membawa wawasan dan pengetahuannya mengenai industri dan rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Paul memulakan kerjaya di CIMB Group pada 2007 sebagai Naib Presiden Kanan, Ketua Pengurusan Jualan bagi penjualan dan pengedaran pengguna.

Paul juga memegang beberapa jawatan dalam kumpulan termasuk di Filipina dan Singapura.

Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, Paul adalah bakat pengurusan kanan yang terbukti di CIMB dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang.

"Saya mengalu-alukan perlantikannya itu. Thailand adalah pasaran strategik untuk CIMB dalam usaha kami mencapai visi menjadi bank ASEAN yang utama.

"Bagi pihak CIMB Group dan Lembaga Pengarah CIMB Thai, saya juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Sutee Losoponkul atas dedikasi dan sumbangannya kepada perniagaan kumpulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 9:20 PM