KANAK-KANAK Rumah Hope NCSM seronok membuat biskut sebagai kejutan untuk ibu bapa mereka.
KANAK-KANAK Rumah Hope NCSM seronok membuat biskut sebagai kejutan untuk ibu bapa mereka.
KANSER bukan halangan untuk kanak-kanak ini melakukan aktiviti sama seperti yang lain.
KANSER bukan halangan untuk kanak-kanak ini melakukan aktiviti sama seperti yang lain.
KANAK-KANAK dibantu membuat biskut raya oleh sekumpulan pelajar kulinari Universiti Sunway.
KANAK-KANAK dibantu membuat biskut raya oleh sekumpulan pelajar kulinari Universiti Sunway.
Oleh Nor Faizah Mohamed


“Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.” Ucapan ringkas yang kerap didengar dan sebati dengan sambutan Aidilfitri dalam kalangan masyarakat kita.

Ia juga mula diangkat sebagai budaya dalam masyarakat pelbagai kaum yang turut sama meraikan Syawal saban tahun, hinggakan ungkapan ‘Maaf Zahir Batin’ itu tidak lagi memberi impak pada diri si pengucap mahupun pada diri orang yang ditujukan ucapan itu.

Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain sentiasa dituntut agama, begitu juga individu yang memohon maaf atas kesalahannya.

Bagaimanapun, bagi Sunway Pyramid, amalan bermaafan ini bukan hanya disebabkan melakukan kesalahan, tetapi lebih kepada simbolik eratnya hubungan sesama manusia.

Seperti apa yang dipaparkan dalam rakaman video khidmat masyarakatnya di laman YouTube bertemakan Titipan Sayang Seribu Kemaafan, kanak-kanak pelbagai bangsa saling memohon maaf dan meluahkan rasa terima kasih mereka kepada ibu bapa.

Projek Titipan Sayang Seribu Kemaafan ini bermula dengan memberi peluang kepada sekumpulan kanak-kanak di Rumah Hope Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM) melahirkan rasa terima kasih mereka di samping memohon kemaafan menerusi aktiviti membuat biskut.

Kanak-kanak yang menghidap barah ini nyata seronok menguli tepung dan membakar biskut sebelum menitipkan nota kepada ibu bapa mereka.

Projek biskut cinta ini kemudiannya diteruskan dalam kalangan kanak-kanak biasa terdiri daripada pelbagai kaum bagi meraikan semangat perpaduan 1Malaysia.

Jelas Ketua Pegawai Operasi Sunway Pyramid, Kevin Tan, projek seperti ini diharapkan dapat memberi mesej positif kepada umum selain membantu masyarakat menghulurkan permohonan maaf dan meluahkan cinta kepada yang tersayang.

“Kanak-kanak ini menunjukkan bahawa tidak sukar untuk kita meminta maaf pada ahli keluarga atau yang tersayang.

“Dalam masa sama, tidak ramai yang mahu menunjukkan atau meluahkan kasih sayang mereka kepada keluarga.

“Selama ini ibu bapa yang menunjukkan kasih sayang mereka dengan membesarkan dan mendidik kita, justeru kempen Aidilfitri ini diharapkan menjadi pembuka langkah untuk kita semua meluahkan tanda terima kasih kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, seni budaya Melayu turut diraikan dalam kempen terbabit. Mengetengahkan seni anyaman tradisional menggunakan rotan dan mengkuang, pengunjung berkesempatan menyertai bengkel anyaman yang disediakan.

Tidak ketinggalan projek menganyam ketupat, di mana setiap ketupat yang dianyam bernilai RM5 yang akan didermakan kepada Rumah Kanak-Kanak Hope dan NCSM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 8:58 AM