HONDA S90 konsep Ghost Rider.
HONDA S90 konsep Ghost Rider.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Pernah disimpan ibarat besi buruk di dalam reban ayam tetapi kini sangat digeruni setiap pemilik motosikal klasik tempatan, lebih-lebih lagi kerap memenangi pertandingan autoshow di seluruh negara.

Bagi kategori klasik ubah suai atau terbuka yang disertai, motosikal Honda S90 keluaran 1974 dimiliki Hishamuddin Md Rashid, 43, pasti menaiki podium setiap pertandingan yang disertai.

Kelibatnya dalam pertandingan autoshow membuat pesaing lain takut untuk bertanding bagi menewaskan juara bertahan yang menaiki podium utama sehingga 30 kali sepanjang 15 tahun terbabit dalam bidang berkenaan.

Berikutan pencapaiannya memberangsangkan, pemilik yang lebih mesra panggilan Kojek berhasrat untuk bersara daripada memasuki autoshow dan mahu mendalami ilmu penjurian pertandingan motosikal klasik.

Hishamuddin berkata, dia mula aktif mengubah suai motorsikal sejak 2000 dan membelanjakan lebih RM13,000, selain sanggup ke Thailand bagi mencari aksesori yang semakin sukar diperoleh di Malaysia.

Bermula dengan semburan cat di Ozi Airbrush di Batu Gajah, Perak bertemakan watak masyarakat orang asli Amerika iaitu Red Indian sebelum ini, kini anggota jentera itu tampil berkonsep watak komik dan filem, Ghost Rider.

Rekaannya lebih menyerlahkan dengan watak tengkorak Ghost Rider digantikan wajah pemiliknya pada tangki petrol serta topi keledar.

Bagi komponen enjin, lampu hadapan dan belakang, pemilik mengekalkan yang asal supaya mahu tampak klasik biarpun jentera itu banyak menerima sentuhan moden.

Beberapa komponen khas seperti cakera brek serta penyejuk enjin turut dipasang berikutan mahu berbeza berbanding motosikal lain yang menyertai pertandingan.

Ia juga dipadankan rim aloi 18 inci, selain tudung rim dikenakan cat semburan supaya tampak garang dan bersesuaian dengan konsep Ghost Rider.

Malah, motosikal itu pernah menerima ‘pinangan’ untuk dibeli dengan harga setinggi RM22,000. Namun, Hishamuddin tidak berhasrat melepaskan jentera kesayangannya yang banyak kali menaikkan namanya di persada dunia permotoran tanah air.

INFO

KOS: RM13,000

ENJIN: Honda S90 model 1974

AKSESORI LUARAN:

- Cat semburan

- Rim aloi emas bersaiz 18 inci

- Karburetor Honda EX5

- Tempat duduk tunggal Vespa

- Enjin dicelup krom

- Ekzos berkembar

- Lampu depan Honda S90

- Penyerap hentak dicelup krom

- Pelindung rantai krom

- Penyejuk cecair

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:01 AM