Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh masih menaruh keyakinan anak buahnya mampu bangkit semula untuk memberikan saingan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 selepas aksi hambar pada dua perlawanan awal Kumpulan A.

Seri kepada Timor Leste 1-1 dan dibelasah 0-6 oleh Palestin di laman sendiri bukan penamat buat skuad kebangsaan untuk meloloskan diri ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana masih mempunyai baki enam perlawanan peringkat kumpulan.

Untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia serta layak automatik ke Piala Asia tampak sukar buat Malaysia kerana perlu muncul juara kumpulan atau empat pasukan terbaik naib juara kumpulan.

Namun dengan format baru dengan 24 pasukan berbanding 16 pasukan berentap di pusingan akhir Piala Asia, anak buah Dollah masih boleh meneruskan perjuangan mencapai misi itu dengan bersaing di pusingan ketiga kelayakan.

Memang masih ada peluang bagaimanapun Harimau Malaya dinasihatkan tidak perlu mencari jalan sukar termasuk beraksi dalam pusingan play off untuk ke pusingan ketiga kelayakan seandainya gagal menempatkan diri dalam kelompok 28 pemain terbaik daripada 40 pasukan kelayakan pusingan kedua.

Dollah perlu segera mempersiapkan pasukannya kerana lawan mereka selepas ini lebih hebat, dua pasukan pilihan Kumpulan A, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi September depan.

“Saya percaya, saya masih ada masa untuk membuat sedikit perubahan. Saya percaya kita boleh bangkit semula,” katanya ketika ditemui di Klinik Kejurulatihan Bolasepak One Goal baru-baru ini.

Tekanan sememangnya dirasai pengendali itu berikutan kritikan yang dilemparkan oleh peminat tempatan malah lantaran kekecewaan prestasi Harimau Malaya, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersedia meletakkan jawatan jika sasaran layak ke pusingan akhir Piala Asia tidak tercapai.

Menurut Dollah, beliau masih mempunyai sehingga 60 pemain yang didaftarkan bagi pusingan kelayakan ini dan mempunyai pilihan untuk memanggil mana-mana pemain yang berada di prestasi baik.

Namun beliau mengakui masih berdepan masalah pemain di posisi pertahanan tengah dan penyerang.

“Sekarang masalah bahagian pertahanan, khasnya di bahagian pertahanan tengah. Kita lihat dalam saingan liga, banyak pasukan guna pemain import,” jelasnya.

Dollah berpeluang untuk menilai prestasi pemain menerusi aksi persahabatan dengan kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:01 AM