Ingatkan kisah dua selebriti popular ini sudah habis, rupa-rupanya belum lagi. Itu pun selepas teman Cik Pang beria-ria bercerita mengenai mereka yang dikatakan sampai sekarang bermadu kasih dalam diam.

Kongsi teman Cik Pang, selepas berlakon dalam satu drama popular, mereka digandingkan bersama sekali lagi dalam beberapa projek lain, juga memegang watak suami isteri.

Menariknya, kru produksi yang bersilih ganti tetap beri komen serupa, kedua-duanya kalau berlakon sudah macam suami isteri betul-betul.

Ini terutama apabila menjalani penggambaran dalam kondo mewah untuk drama terbaru mereka yang kini disiarkan di Astro.

Dakwa teman Cik Pang, mereka berdua seolah-olah cukup susah nak tinggalkan kondo mewah itu sebab terlalu banyak momen indah pernah berlaku di situ. Ala-ala macam orang tengah mabuk bercinta!

Walaupun tidak mahu mengaku dengan serius sedang bercinta, mereka tetap berani mati tonjolkan bahasa badan penuh romantik. Bila ajak bergambar saja, mesti nak berpeluk sakan!

Pernah berlaku depan mata teman Cik Pang masa majlis berbuka puasa anjuran stesen TV, masa nak ditemubual dengan teman media, si aktor suruh si aktres tunggu sekejap.

Tapi dengan penuh gedik si aktres tetap mengekor macam itik pulang petang. Yalah, takkan nak lepaskan peluang untuk ditemubual bersama dan promosi percuma, kan?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:10 AM