SHAHROL Azizie Azmi. FOTO Arkib NSTP
SHAHROL Azizie Azmi. FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


PELAWAK Shahrol Azizie Azmi mengaku turut mendengar dakwaan mengatakan dia kembali dilamar stesen radio Suria FM sebagai penyampai.

Bagaimanapun untuk mengelakkan timbul kekeliruan dan salah faham, anggota kumpulan Shiro itu menegaskan belum ada tawaran secara rasmi dibuat.

Shahrol yang ditemui di pentas Super Spontan Extravaganza 2018 di Kuala Lumpur, malam tadi turut menjelaskan andai benar ada tawaran dibuat, dia tidak keberatan untuk menerimanya, namun harus melihat terlebih dulu kontrak bakal ditawarkan.

“Saya tidak ada masalah sekiranya benar seperti dikatakan Suria mahu saya kembali menyertai mereka. Saya terharu mendengarnya dan berbesar hati.

“Tetapi sudah tentulah dalam waktu sama andai apa yang dikatakan itu berlaku, ada beberapa perkara saya perlu dilihat, paling utama dengan siapa saya bakal digandingkan dalam konti,” katanya.

Sebaik membuat keputusan kembali ke Kuala Lumpur bagi memberikan tumpuan kepada kerjaya seni, selepas lama menetap di kampung halamannya di Kluang, Johor, timbul cerita mengatakan Suria FM berminat melamar Shahrol kembali.

Pelawak yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Raja Lawak itu, pernah menyertai Suria FM pada akhir tahun lalu dan mengendalikan segmen Suria Pagi bermula 5 hingga 10 pagi, bergandingan dengan Zulin Aziz dan Fizi Ali.

Bagaimanapun, selepas tiga bulan bertugas di Suria, Shahrol menolak untuk menyambung kontrak walaupun diberikan tawaran lumayan dengan alasan mahu pulang ke Kluang, demi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 5:40 PM