Oleh Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membuat ucapan menghasut ketika kejadian di Plaza Low Yat.

Mohd Ali, 44, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh.

Terteduh didakwa menyebut perkataan menghasut iaitu, "Yang berkorban dan budak lelaki Cina yang bawa kayu, Okay, kita mahukan keadilan, ini adalah maruah budak budak Melayu, bukan kerana seekor, budak Cina serang ramai ramai budak Melayu, bukan memaafkan budak budak Cina yang memilang budak budak Melayu, Ini adalah bumi bumi Melayu, Bersatu Menentang Cina Cina DAP yang kurang ajar, Allahuakhbar Allahuakhbar, Allahuakhbar, bersurai".

Mohd Ali yang diwakili peguam K Ragunath didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan Bangunan Low Yat Plaza, Jalan Bulan 1, off Jalan Bukit Bintang, jam 8.30 malam, 12 Julai 2015.

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum lima tahun atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Ravindran.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 3:25 PM