AFP

London: Juara Wimbledon Serena Williams yakin dia mampu menangani tekanan untuk melakar sejarah dalam kalendar Grand Slam di Terbuka AS yang bakal berlangsung di negara kelahirannya itu tidak lama lagi.

Berikutan kejayaannya di Wimbledon, Serena sudah semakin hampir untuk menjadi pemain wanita pertama sejak Steffi Graf pada 1988 yang memenangi semua empat gelaran utama dalam tahun sama.

Pemain AS berusia 33 tahun itu bangkit daripada permulaan perlahan sebelum mencatat kemenangan 6-4, 6-4 ke atas pemain Sepanyol Garbine Muguruza, sekali gus menghadiahkan kejayaan Grand Slam ke-21 kelmarin dan muncul pemain wanita tertua yang memenangi gelaran utama di Era Terbuka.

“Saya mengelilingi gelanggang dengan tenang, gembira dan selepas itu, barulah saya mula berfikir mengenai New York,” katanya.

“Saya berkata pada diri sendiri, saya sudah menang di New York tiga kali berturut-turut. Saya harap kali ini saya tidak tewas di sana. Saya mahu melakukan yang terbaik di situ nanti.

“Saya rasa yakin dapat mencipta Serena Slam, Saya tidak berdepan masalah untuk melangkah ke (kalendar) Grand Slam.

“Seperti yang biasa saya katakan, terdapat 127 pemain lain di kejohanan itu dan mereka sudah tentu tidak mahu melihat saya menang. Tidak ada yang bersifat peribadi kerana semua mahukan kemenangan.

“Tetapi, saya tidak ada apa untuk dirisaukan. Saya sudah mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dan saya hanya perlu bermain seperti biasa.”

Sepanjang aksi Wimbledon, Serena cuba menenangkan diri dengan tidak menjawab soalan mengenai cubaannya mencipta Serena Slam dengan memenangi empat kejuaraan setahun.

Juara Terbuka AS enam kali itu mengakui tekanan pasti lebih hebat di Flushing Meadows nanti, tetapi sekali lagi, dia akan cuba memberikan perhatian kepada setiap perlawanan berbanding terburu-buru mencipta legasi.

“Sudah tentu saya akan cuba melakukan yang terbaik, tetapi saya tidak berani menjanjikan apa-apa.”

Sementara itu, Martina Hingis memenangi gelaran Wimbledon pertama sejak 1998 apabila gandingannya bersama Sania Mirza membolehkan mereka menjuarai piala beregu wanita, kelmarin.

Martina, 34, dan bintang India berusia 28 tahun, Sania bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menundukkan gandingan Russia Ekaterina Makarova dan Elena Vesnina 5-7, 7-6 (7/4), 7-5.

Ia adalah gelaran pertama buat beregu yang hanya bersetuju untuk berganding, Mac lalu.

Martina pernah memenangi gelaran beregu Wimbledon bersama Helena Sukova pada 1996 dan Jana Novotna pada 1998.

Bagi Sania, ia adalah gelaran utama pertamanya di Grand Slam walaupun sebelum ini dia pernah memenangi tiga gelaran beregu campuran di kejohanan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:04 AM