London: Memori Serena Williams tidak sehebat servis pertamanya ketika ini apatah lagi terlalu banyak pencapaian untuk diingati bintang tenis Amerika Syarikat itu.

Namun apabila pemain nombor satu dunia berusia 34 tahun itu akhirnya bersara, dia berkata, dia akan sentiasa mengingati saat menundukkan pemain Jerman Angelique Kerber kelmarin bagi menyamai rekod Steffi Graff dalam era profesional dengan 22 gelaran perseorangan Grand Slam.

“Pasti sukar mengingati antara lapan, sembilan dan 10,” jelas pemain Amerika itu yang memulakan koleksi kejuaraannya pada Terbuka AS 1999 apabila menundukkan pemain Switzerland Martina Hingis.

“Malah saya tidak tahu bila kejuaraan kelapan, kesembilan dan kesepuluh atau bila ia dilakukan. Saya pasti tidak mengingati bila kejuaraan ke-12 dicatat. Saya ingat antara pertama hingga keempat. Selepas itu agak kabur.

“Tapi sudah tentu saya akan mengingati saat ini.”

Serena memenangi kejuaraan perseorangan ke-21 setahun lalu apabila dia menewaskan pemain Sepanyol Garbine Muguruza di Wimbledon.

Sejak itu reputasinya dipersoalkan selepas impian memenangi gelaran Grand Slam dalam tempoh setahun berkubur pada separuh akhir Terbuka AS 2015, sebelum kekalahan kepada Angelique dan Garbine pada final Terbuka Australia dan Perancis.

Serena mengharamkan dirinya daripada bercakap mengenai “22” menjelang Wimbledon tahun ini.

Namun selepas bangkit menyerlah pada final perseorangan Grand Slam ke-28 dia berkata, ia satu perasaan istimewa dan beberapa malam sukar tidur memikirkan mengenainya.

“Secara jujur saya hampir memenanginya dan kecewa kerana gagal,” katanya. “Sasaran saya adalah memenangi sekurang-kurangnya satu gelaran Grand Slam setiap tahun. Tekanan terlalu tinggi buat saya.”

Selain debaran kejutan apabila dia kalah satu set menentang rakan senegara dari Amerika Christina McHale pada pusingan kedua, Serena dilihat selesa sepanjang Wimbledon kali ini.

Kelmarin, ketika kemenangan 7-5, 6-3 ke atas pilihan keempat Angelique, permainannya terlalu mantap malah lawannya bergelut untuk kekal bersaing dan tiada sebarang saat panik yang selalu dialami Serena sebelum ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 12:17 PM