SERENA mempamerkan  trofi dimenanginya.
SERENA mempamerkan trofi dimenanginya.
AFP

Miami: Pemain nombor satu dunia Serena Williams menyertai kelompok elit tenis apabila merangkul gelaran WTA Miami buat kali kelapan menerusi kemenangan 6-2, 6-0 ke atas pemain Sepanyol Carla Suarez Navarro.

Bintang Amerika Syarikat berusia 33 tahun itu yang menang gelaran Grand Slam ke-19 di Terbuka Australia tahun ini, menjulang Piala WTA Miami buat kali ketiga berturut-turut kelmarin.

Dia pernah memenangi tiga gelaran Miami berturut-turut pada 2002-04 selain dua kejayaan pada 2007-08.

Serena sudah mengatasi catatan Steffi Graf sebagai pemain yang paling banyak menjulang gelaran Miami selepas menang tahun lalu.

Kelmarin, dia menyertai Steffi, Martina Navratilova dan Chris Evert sebagai pemain Era Terbuka yang menang kejohanan sama sekurang-kurangnya lapan kali.

Steffi menang sembilan gelaran di Berlin dan Chris menang lapan gelaran Hilton Head manakala Martina mencatat angka serupa pada tujuh kejohanan termasuk sembilan gelaran Wimbledon.

“Memang seronok apabila mengumpul lapan gelaran,” kata Serena.

“Saya tidak pernah membayangkan akan menang lapan gelaran di sini terutama apabila memikirkan aksi pada awal minggu ini,” katanya yang sedikit bergelut untuk melakukan servis selain melakukan banyak kesilapan pada perlawanan sebelum ini.

“Saya pernah mengharungi perlawanan di mana saya melakukan 60 kesalahan dan justeru, saya perlu mengukuhkan keyakinan dengan memujuk diri sendiri,” katanya ketika merujuk aksi menentang pemain nombor tiga, Simona Halep di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:02 AM