AFP

Paris: Novak Djokovic dan Serena Williams dinamakan juara dunia lelaki dan wanita 2014 oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), kelmarin.

Ia kali keempat Djokovic meraih hadiah utama itu selepas menjuarai Wimbledon, pusingan akhir Jelajah Dunia ATP dan mengakhiri musim di ranking nombor satu dunia Jelajah ATP.

Pemain Serbia berusia 27 tahun itu muncul salah seorang daripada empat pemain lelaki diisytihar juara dunia ITF empat kali atau lebih, di samping Ivan Lendl, Pete Sampras dan Roger Federer.

Serena memenangi Terbuka AS, kejuaraan Grand Slam ke-18 sepanjang kariernya, Kejohanan Jelajah WTA dan turut menduduki tangga nombor satu Jelajah WTA.

Pada usia 33 tahun dia pemain tertua dinobat juara perseorangan dunia ITF.

“Tahun ini penuh dengan cabaran dan kejayaan, memenangi satu lagi gelaran Grand Slam dan mengekalkan ranking nombor satu dunia satu pencapaian yang amat saya banggakan,” jelas Serena.

Pemain Amerika Syarikat, Bob dan Mike Bryan diisytihar juara beregu lelaki dunia buat kali ke-11 dalam tempoh 12 tahun manakala Sara Errani dan Roberta Vinci dari Itali muncul juara beregu wanita dunia buat tahun ketiga berturut-turut.

Semua pemenang juara dunia ITF akan menerima anugerah pada majlis makan malam ITF 2015 pada 2 Jun tahun depan di Roland Garros sempena Terbuka Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:06 AM