Reuters

Massachusetts, AS: Amerika Syarikat mengesahkan slot ke suku akhir Piala Emas CONCACAF apabila mengalahkan Haiti 1-0 semalam, manakala Panama dan Honduras seri 1-1 pada aksi Kumpulan A.

Gol awal Clint Dempsey pada separuh masa kedua mengesahkan kemenangan AS, walaupun Haiti berjaya mempamerkan permainan menarik dan mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol.

Amerika memenangi perlawanan pertama peringkat kumpulan mengatasi Honduras dan meraih enam mata dari dua perlawanan, sementara Panama mengumpul dua mata, Honduras dan Haiti masing-masing satu mata.

AS menentang Panama pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan manakala Honduras bertemu Haiti. Dua pasukan teratas mara ke suku akhir, manakala dua pasukan terbaik tempat ketiga turut layak.

Amerika dan Haiti buntu menjaringkan gol pada separuh masa pertama, tatkala tuan rumah kurang bernasib baik apabila jaringan Aron Johannsson tidak dibenarkan kerana ofsaid.

Jurulatih Amerika Syarikat, Juergen Klinsmann memasukkan Gyasi Zardes pada babak kedua menggantikan penyerang Jozy Altidore dan perubahan itu membuahkan hasil apabila pemain Los Angeles Galaxy itu berjaya melakukan hantaran cantik kepada Dempsey untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan itu.

“Dia bermain dengan baik dan kami bergantung harap kepadanya untuk membantu mencatat keputusan cemerlang,” kata ketua pasukan Amerika Syarikat, Michael Bradley mengenai Zardes.

Pada perlawanan terdahulu antara Panama dan Honduras berlangsung dalam penuh ketegangan terutama pada babak kedua memaksa pengadil, Marlon Mejia bergelut untuk mengawal keadaan.

Pemain Panama dilihat lebih tertekan, terutama selepas mereka dinafikan dua sepakan penalti dan pemain pertahanan, Luis Henriquez diperintah keluar padang kerana meraih kad kuning kedua manakala empat pemain lain turut dilayangkan kad kuning.

Panama mendahului pada minit ke-21 apabila Luis Tejada memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma namun Honduras menyamakan kedudukan melalui Andy Najar pada minit ke-78.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:04 AM