DEMPSEY (dua dari kiri) jaring gol tunggal AS.
DEMPSEY (dua dari kiri) jaring gol tunggal AS.

Los Angeles: Amerika Syarikat menewaskan Paraguay 1-0 untuk layak ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A Copa America Centenario selepas Costa Rica menewaskan pasukan yang sudah melayakkan diri Colombia 3-2.

AS yang menjadi hos kejohanan pada ulang tahun kejohanan ke-100 itu akan menentang naib juara Kumpulan B dan ketika ini, Brazil berada di kedudukan teratas kumpulan diikuti oleh Peru dan Ecuador manakala Haiti yang sudah terkeluar daripada kejohanan menghuni tangga tercorot.

AS yang bermain lebih baik mendapat gol apabila penyerang mereka Clint Dempsey menyempurnakan hantaran leret Gyasi Zardes pada minit ke-27.

Bagaimanapun, AS terpaksa bermain dengan 10 pemain sebaik selepas rehat apabila bek kanan DeAndre Yedlin menerima kad kuning kedua selepas melakukan terjahan keras terhadap pemain lawan.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, pemain Costa Rica Johan Venegas berjaya menjaringkan gol awal pada minit kedua sebelum Frank Fabra menyamakan kedudukan buat Colombia empat minit kemudian.

Fabra bagaimanapun menghampakan penyokong sendiri apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-34 sebelum Celso Borges melebarkan jaringan untuk Costa Rica menjadi 3-1 pada minit ke-58. Marlos Moreno menjadikan kedudukan 2-3 17 minit sebelum tamat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 10:03 AM